JANGAN
DILAMPAUI NIAT TUJUAN KAMU KEPADA SELAIN-NYA KERANA AL-KARIM TIDAK DAPAT
DILAMPAUI OLEH SEBARANG HARAPAN.
Orang yang masih dalam perjalanan sangat
teringin untuk cepat sampai kepada Allah s.w.t. Dia terpesona melihat keadaan
orang-orang yang telah sampai. Kadang-kadang timbul rasa tidak sabar untuk
ikut sama sampai kepada tujuannya. Perasaan tidak sabar akan menimbulkan
harapan atau cita-cita agar ada seseorang yang dapat menolong mengangkatnya.
Orang yang diharapkan itu mungkin terdiri daripada mereka yang telah sampai
atau mungkin juga dia menaruh harapan kepada wali-wali ghaib dan malaikat-malaikat.
Maksud dan tujuannya tidak berubah, iaitu sampai kepada Allah s.w.t tetapi
dalam mencapai maksud itu sudah diselit dengan harapan kepada selain-Nya.
Ini bermakna sifat bertawakal dan berserah dirinya sudah bergoyang. Sebelum
dia terjatuh, Hikmat 47 ini menariknya supaya berpegang kepada al-Karim.
Walau kepada siapa pun diletakkan harapan namun, harapan dan orang berkenaan
tetap mencari al-Karim. Tidak ada harapan dan cita-cita yang dapat melepasi
al-Karim.
Al-Karim adalah salah satu daripada
Asma-ul-Husna. Nama ini memberi pengertian istimewa tentang Allah s.w.t.
Al-Karim bermaksud:
1: Allah s.w.t Maha Pemurah.
2: Allah s.w.t memberi tanpa diminta.
3: Allah s.w.t memberi sebelum diminta.
4: Allah s.w.t memberi apabila diminta.
5: Allah s.w.t memberi bukan kerana permintaan, tetapi cukup sekadar harapan, cita-cita dan angan-angan hamba-hamba-Nya. Dia tidak mengecewakan harapan mereka.
6: Allah s.w.t memberi lebih baik daripada apa yang diminta dan diharapkan oleh para hamba-Nya.
7: Allah Yang Maha Pemurah tidak kedekut dalam pemberian-Nya. Tidak dikira berapa banyak diberi-Nya dan kepada siapa Dia memberi.
8: Paling penting, demi kebaikan hamba-Nya sendiri, Allah s.w.t memberi dengan bijaksana, dengan cara yang paling baik, masa yang paling sesuai dan paling bermanafaat kepada si hamba yang menerimanya.
1: Allah s.w.t Maha Pemurah.
2: Allah s.w.t memberi tanpa diminta.
3: Allah s.w.t memberi sebelum diminta.
4: Allah s.w.t memberi apabila diminta.
5: Allah s.w.t memberi bukan kerana permintaan, tetapi cukup sekadar harapan, cita-cita dan angan-angan hamba-hamba-Nya. Dia tidak mengecewakan harapan mereka.
6: Allah s.w.t memberi lebih baik daripada apa yang diminta dan diharapkan oleh para hamba-Nya.
7: Allah Yang Maha Pemurah tidak kedekut dalam pemberian-Nya. Tidak dikira berapa banyak diberi-Nya dan kepada siapa Dia memberi.
8: Paling penting, demi kebaikan hamba-Nya sendiri, Allah s.w.t memberi dengan bijaksana, dengan cara yang paling baik, masa yang paling sesuai dan paling bermanafaat kepada si hamba yang menerimanya.
Sekiranya para hamba mengenali al-Karim
nescaya permintaan, harapan dan angan-angan tidak tertuju kepada yang lain
melainkan kepada-Nya. Allah al-Karim menciptakan makhluk dengan kehendak-Nya
tanpa ada kaitan dengan sebarang permintaan, cita-cita atau harapan sesiapa
pun. Dia menentukan dan menetapkan hukum pada setiap kejadian-Nya dengan
kehendak-Nya juga. Dia menyediakan segala keperluan makhluk-Nya dan mempermudahkan
makhluk-Nya memperolehi rezeki masing-masing dengan kehendak-Nya juga.
Tidak ada sesuatu yang campur tangan dalam urusan-Nya membahagikan kebaikan
kepada makhluk-Nya.
Manusia terhijab memandang kepada
kemurahan al-Karim oleh sikap mereka sendiri. Mereka menerima sesuatu kebaikan
al-Karim sebagai perkara semulajadi sehingga mereka lupa perkara yang mereka
anggap sebagai semulajadi itu sebenarnya dijadikan, tidak ada sebarang
kebetulan pada urusan Tuhan. Tuhan mengatur sesuatu dengan rapi, kemas
dan sempurna, tiada sebarang kecacatan dan tidak ada kebetulan. Pergantian
siang dengan malam, perubahan cuaca, keberkesanan sistem sebab-akibat adalah
kurniaan al-Karim untuk manfaat makhluk-Nya, tanpa sesiapa meminta Dia
berbuat demikian. Sistem perjalanan darah, pernafasan, perkomahan, penghadhaman
dan semua yang ada dengan manusia adalah kurniaan al-Karim yang memberi
tanpa diminta. Manusia tidur malamnya dan dikejutkan oleh al-Karim pada
siangnya tanpa diminta. Al-Karim menaburkan ikan-ikan di laut sebagai makanan
manusia tanpa diminta. Al-Karim menurunkan hujan dan menyuburkan pokok-pokok
tanpa diminta. Tidak dapat dinilaikan betapa besar dan banyaknya nikmat
yang disediakan oleh al-Karim untuk makhluk-Nya tanpa mereka meminta. Makhluk
berbangsa manusia adalah yang paling banyak menikmati kemurahan al-Karim.
Makhluk yang tidak dibekalkan nafsu
dan akal tidak tahu meminta. Mereka menerima apa sahaja yang al-Karim
sediakan buat mereka. Manusia yang dibekalkan nafsu dan akal selain menerima
segala nikmat yang disediakan oleh al-Karim tanpa mereka mengajukan permintaan,
mereka juga mempunyai keinginan, harapan, cita-cita dan angan-angan. Dalam
banyak perkara yang mereka inginkan mereka ajukan permintaan kepada Allah
s.w.t. Allah al-Karim bukan sekadar memberi apa yang diminta malah Dia
memberi juga apa yang dicita-citakan, diharapkan dan angankan.
Al-Quran mengingatkan manusia supaya
mengenang nikmat kebaikan dan kemurahan Allah al-Karim.
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? ( Ayat 13 : Surah ar-Rahmaan )
Ayat di atas diulang sebanyak 31
kali dalam satu surah sahaja iaitu surah ar-Rahman. Wahai bangsa jin dan
bangsa manusia yang dipikulkan tanggungjawab pengabdian kepada Allah s.w.t!
Perhatikan nikmat, rahmat, kasihan belas dan kasih sayang-Nya, yang mana
satu yang mahu kalian dustakan? Allah s.w.t menanyakan yang sama sebanyak
31 kali. Tiang Arasy bergegar sekiranya Allah s.w.t ajukan pertanyaan ini
kepada para malaikat yang menanggung Arasy. Apakah tidak hancur hati kamu
mendengar pertanyaan Tuhan ini? Makhluk bangsa jin yang beriman menyambut
pertanyaan Tuhan ini dengan jawapan:
Ya Tuhanku! Tidak ada sesuatu pun dari kurnia Engkau, ya Rabbana, yang dapat kami dustakan.
Allah! Ar-Rahman! Al-Karim! Kepada
siapa lagi hendak kamu ajukan permintaan? Kepada siapa lagi hendak kamu
sandarkan harapan? Bukankah Dia telah berfirman:
Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. ( Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Contohilah sikap Nabi Ibrahim a.s
yang sentiasa bergantung kepada al-Karim dan tidak kepada yang lain. Beliau
a.s menolak pertolongan yang ditawarkan oleh malaikat Jibrail a.s. Beliau
a.s yakin bahawa Allah al-Karim tidak akan membiarkannya. Penyerahan Nabi
Ibrahim a.s kepada al-Karim tidak sia-sia.
Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera atas Ibrahim!”. ( Ayat 69 : Surah Anbiyaa’ )
Allah s.w.t, al-Karim, menerima penyerahan
penuh Nabi Ibrahim a.s dan Dia melindungi hamba-Nya yang bertawakal itu.
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah: “Aku akan membawanya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
Al-Karim yang menyejukkan api dari membakar
Nabi Ibrahim a.s, Dia jugalah yang membawa Balkis dan istananya kepada
Nabi Sulaiman a.s. Kurniaan Al-Karim tidak dapat diukur dan disukat. Dia
memberi terlalu banyak kerana Dia sangat Pemurah.
Wahai Tuhan kami. Walau bagaimana
banyak sekalipun kami menyebut kebaikan Engkau namun ia tetap tidak mencukupi.
Ampunilah kami lantaran kelemahan kami menyatakan syukur yang selayaknya
kepada Engkau.