JANGAN
DIAJUKAN HAJATMU KEPADA SELAIN ALLAH S.W.T. ALLAH S.W.T YANG MENDATANGKAN
HAJAT ITU KEPADA KAMU. SIAPAKAH YANG SELAIN ALLAH S.W.T DAPAT MENGANGKAT
SESUATU YANG DILETAKKAN OLEH ALLAH S.W.T? BARANGSIAPA YANG TIDAK MAMPU
MELAKSANAKAN HAJAT DIRINYA SENDIRI, BAGAIMANA PULA DIA SANGGUP MELAKSANAKAN
HAJAT ORANG LAIN.
Dalam membentuk keperibadian tauhid, kita
perlu melihat sesuatu dari asal mulanya hinggalah kepada penghabisan sampainya.
Orang yang masih dalam proses membentuk keperibadian tauhid, diibaratkan
jambatan tempat lalu-lintas yang datang dan yang pergi. Apa yang datang
menceritakan asalnya dan yang pergi menceritakan tujuannya. Jambatan itu
ialah hati dan yang datang itu bermacam-macam, antaranya adalah niat, harapan,
angan-angan, cita-cita, hajat dan keinginan. Semuanya datang dari arah
yang sama, semuanya bukan jenis benda yang berupa, tetapi adalah jenis
tenaga atau kuasa ghaib. Walaupun ghaib, masing-masing itu mempunyai keupayaan
dan kekuatan untuk memberi kesan kepada hati. Kesan yang berbeza-beza menyebabkan
satu keupayaan dan kekuatan dapat dibezakan dengan keupayaan dan kekuatan
yang lain. Boleh dikenal keupayaan dan kekuatan marah, benci, suka, niat,
harapan, hajat dan lain-lain. Sumber datangnya segala-galanya ialah makam
Lahut (zat Ilahiat), turun kepada makam Jabarut (sifat). Pada makam Jabarut
muncullah Iradat dan Kudrat. Iradat dan Kudrat Allah s.w.t menjadi sumber
kepada semua keupayaan dan kekuatan. Pancaran Iradat dan Kudrat diterima
oleh Alam Malakut sebagai perintah Allah s.w.t. Iradat dan Kudrat yang
diterima oleh para malaikat dinamakan Haula dan Kuwwata Allah s.w.t, lalu
malaikat-malaikat yang menyambutnya mengucapkan:
Tidak ada keupayaan dan kekuatan melainkan (Iradat dan Kudrat) Allah s.w.t.
Perintah-perintah yang berhubung
dengan manusia dibawa turun dari Lahut kepada Jabarut kepada malakut dan
kemudiannya kepada langit dunia atau langit pertama. Langit pertama adalah
tempat pengasingan. Ketika Rasulullah s.a.w Mikraj, baginda s.a.w melihat
dilangit pertama ada satu pintu ke syurga dan satu pintu ke neraka. Apa
yang naik ke atas diasingkan di langit pertama dan apa yang turun ke bawah
diasingkan juga di langit yang pertama.
Perintah yang berupa kebaikan turun
dari langit pertama dengan diiringi oleh malaikat hingga sampai kepada
manusia. Perintah yang mengandungi keburukan diiringi oleh syaitan hingga
sampai kepada manusia juga. Baik dan jahat hanya diasingkan apabila memasuki
dunia. Pada Alam Malakut tidak ada jahat dan tidak ada baik kerana semuanya
diterima oleh malaikat sebagai perintah Allah s.w.t. Malaikat yang memukul
ahli neraka tidak membuat kezaliman tetapi melaksanakan perintah Allah
s.w.t, tetapi manusia yang memukul manusia lain di dunia adalah melakukan
kezaliman. Manusia dan jin yang mendiami alam dunia inilah yang dihadapkan
dengan kebaikan dan kejahatan. Makhluk lain dalam dunia tidak memikul kebaikan
dan kejahatan. Harimau yang memakan rusa tidak dikira melakukan kejahatan.
Angin yang menerbangkan rumah orang tidak dikira sebagai melakukan kezaliman.
Hanya manusia dan jin yang dipertanggungjawabkan memikul kebaikan dan kejahatan.
Jin jenis jahat dinamakan syaitan. Syaitan sangat gemarkan apa sahaja yang
jahat. Syaitan menanti dibawah bumbung langit dunia dan mengiringi keburukan
yang turun dengan penuh sukaria hingga sampailah kepada hati manusia. Perkara
yang baik diiringi oleh malaikat hingga selamat sampai kepada hati manusia.
Walaupun begitu syaitan masih juga mencuba mengganggu perkara baik itu
agar bertukar menjadi buruk, tetapi dihalang oleh malaikat.
Setiap perkara yang diterima oleh
hati, dibawa oleh malaikat dan syaitan, diberi berbagai-bagai nama mengikut
kesannya kepada hati. Ada yang dipanggil niat, ada yang dipanggil keinginan
dan ada yang dipanggil hajat serta banyak lagi nama yang digunakan untuk
membezakan yang satu dengan yang lain. Setiap yang dibawa oleh malaikat
adalah baik, maka lahirlah niat baik, kehendak yang baik dan hajat yang
baik. Setiap yang dibawa oleh syaitan adalah buruk, maka lahirlah niat
buruk, keinginan jahat dan hajat yang jahat. Biar apa pun istilah yang
digunakan, yang pasti ia mempunyai keupayaan untuk menarik hati agar cenderung
ke arah atau kepada sesuatu dan ada kekuatan yang memaksa hati untuk mengadakan
tindakan mengarah kepada yang dicenderungi itu. Keupayaan dan kekuatannya
bukan sahaja terhenti setakat hati dan anggota-anggota di bawah kawalannya
sahaja, malah ia mampu bergerak melalui ruang dan zaman.
Keupayaan dan kekuatannya mampu mempengaruhi
orang lain supaya bergerak ke arah yang sama. Misalnya, seorang pemimpin
yang berwawasan mampu mempengaruhi orang ramai supaya bergerak ke arah
wawasannya. Ketua penjahat juga mampu menekankan rencana jahatnya kepada
anak buahnya. Wawasan dan rencana itu boleh diteruskan oleh orang lain
dan boleh juga melintasi zaman lain walaupun orang yang memulakannya sudah
meninggal dunia. Sebab itulah sesuatu amal yang dipelopori oleh seseorang
kemudian menjadi ikutan orang lain maka si pelopor itu tetap bertanggungjawab
ke atas perbuatan orang yang mengikutnya, kerana pada hakikatnya keupayaan
dan kekuatan yang diterimanya itulah yang disebarkannya kepada orang lain.
Makhluk yang pertama menerima keupayaan
dan kekuatan jahat ialah iblis laknatullah dan daripadanya keupayaan dan
kekuatan jahat itu tersebar. Sesiapa yang melakukan kejahatan dia berbuat
demikian dengan tenaga iblis laknatullah. Makhluk yang pertama menerima
keupayaan dan kekuatan baik ialah Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun Nabi Adam
a.s diciptakan terlebih dahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w tetapi roh
Nabi Muhammad s.a.w diciptakan terlebih dahulu dan roh Nabi Muhammad s.a.w
itulah bekas yang pertama menerima tenaga baik. Sesiapa sahaja yang melakukan
kebaikan maka dia berbuat demikian dengan menggunakan tenaga yang dibekalkan
oleh Roh Muhammad s.a.w. Kejahatan tidak berpisah dengan iblis laknatullah.
Kebaikan tidak berpisah dengan Muhammad s.a.w.
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (semua makhluk pada semua zaman) ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )
Tidak ada satu pun makhluk yang memperolehi
atau melakukan kebaikan melainkan ia bernaung di bawah rahmat yang Allah
s.w.t telah tentukan kepada Nabi Muhammad s.a.w, walaupun kebaikan itu
berlaku sebelum baginda s.a.w lahir ataupun sesudah baginda s.a.w wafat.
Begitulah pandangan kita jika memandang kepada sempadan alam. Sekiranya
pandangan kita tidak berubah dari asal mula sesuatu tentu Iradat dan Kudrat
Allah s.w.t tidak terlindung daripada kita. Kita akan melihat bahawa Iradat
dan Kudrat Allah s.w.t sahaja yang menimbulkan keupayaan dan kekuatan yang
singgah kepada hati lalu dinamakan niat, kemahuan atau hajat. Iradat dan
Kudrat Allah s.w.t yang sama juga memperjalankan niat, kemahuan dan hajat
melalui ruang dan waktu. Semuanya adalah Iradat dan Kudrat Allah s.w.t.
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah. ( Ayat 29 : Surah at Takwiir )
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa dibimbing oleh Allah s.w.t kepada jalan yang benar engkau tidak dapat menyesatkannya dan sesiapa yang dibimbing oleh Allah s.w.t kepada kesesatan engkau tidak dapat meluruskannya.
Kita sering ucapkan:
Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t.
Pandangan tauhid memperlihatkan kepada
kita bahawa pada apa jua keadaan Iradat dan Kudrat Allah s.w.t tidak luput
daripada kita walaupun dalam niat, harapan atau hajat. Apabila mata hati
memandang dari asal mula hingga ke akhir tujuan tetap pada Allah s.w.t
maka hati pun akan bersandar kepada Allah s.w.t sahaja, tidak lagi bergantung
kepada sesama makhluk dan tidak juga kepada dirinya sendiri. Dirinya dan
orang lain sama-sama dipikulkan beban. Orang yang memikul beban tidak mampu
mengangkat bebannya sendiri, jauh sekali untuk mengangkat beban orang lain.
Siapakah dari kalangan makhluk Allah s.w.t yang dapat mengubah apa yang
Allah s.w.t telah tetapkan dengan Iradat-Nya dan laksanakan dengan Kudrat-Nya?
Tidak ada yang boleh berbuat demikian melainkan Allah s.w.t.
Perintah berbentuk kebaikan yang dibawa
oleh malaikat mudah kita mengerti dan terima sebagai Iradat dan Kudrat
Allah s.w.t. Bagaimana pula ‘perintah’ keburukan yang dibawa oleh syaitan?
Adakah kita perlu melakukan keburukan tersebut? Adakah Allah s.w.t memerintahkan
kita berbuat jahat? Persoalan ini membuat kita keliru. Kita harus meneliti
perkara ini dengan mendalam supaya tidak terjadi salah iktikad. Ibaratkan
syaitan sebagai anjing dan Tuhan adalah Tuan yang memerintahnya. Anjing
tidak akan menyalak dan menggigit jika tidak diizinkan atau diperintah
oleh Tuannya. Andainya Tuan mengizinkan anjing menyalak dan menggigit kita
kemungkinannya adalah kerana:
1: Tuan murka kepada kita.
2: Kita mencabar hak Tuan.
3: Pada diri kita ada sesuatu yang digemari oleh anjing.
1: Tuan murka kepada kita.
2: Kita mencabar hak Tuan.
3: Pada diri kita ada sesuatu yang digemari oleh anjing.
Apabila kita berhadapan dengan situasi
seperti di atas kita mempunyai dua pilihan iaitu:
1: Kita membiarkan diri kita digigit oleh anjing. Jika yang menggigit itu adalah anjing gila maka kita juga akan terkena penyakit anjing gila.
2: Kita lari kepada Tuannya dan merayu agar menghalau anjing itu daripada kita.
1: Kita membiarkan diri kita digigit oleh anjing. Jika yang menggigit itu adalah anjing gila maka kita juga akan terkena penyakit anjing gila.
2: Kita lari kepada Tuannya dan merayu agar menghalau anjing itu daripada kita.
Ketika menerima kedatangan ‘perintah’
supaya berbuat jahat kita mesti menerimanya dengan bijaksana agar kita
tidak salah mentafsirkannya. Allah s.w.t selalu mengingatkan kita bahawa
syaitan adalah musuh kepada manusia, dan layanlah syaitan itu sebagai musuh.
Kita diajarkan supaya berlindung kepada Allah s.w.t dari syaitan yang kena
rejam. Jika Allah Yang Maha Mulia menyuruh utusan yang sangat keji yang
menjadi musuh kita, membawa benda busuk kepada kita apakah yang dapat
kita katakan tentang nilai diri kita pada pandangan Allah s.w.t? Nilai
diri kita adalah sama dengan benda busuk yang dibawa oleh musuh kita itu,
iaitu kita ini adalah umpama tong sampah yang layak untuk diisikan dengan
sampah sarap. Sekiranya kita menginsafi perkara tersebut, sebaik sahaja
utusan yang keji itu dan benda yang busuk itu sampai kepada kita, tentu
sekali kita akan jatuh pengsan kerana takut dan khuatir terhadap kehinaan
diri kita dan kemurkaan Allah s.w.t kepada kita. Apabila sedar kita seharusnya
menginsafi akan kejahatan dan kehinaan diri kita yang menyebabkan utusan
yang jahat dan dilaknat membawa benda kotor dan busuk kepada kita. Kita
seharusnya menyucikan diri kita agar kekotoran hilang. Kita sepatutnya
memperbanyakkan taubat, memohon keampunan dan belas kasihan daripada Allah
s.w.t. Kita sepatutnya memperbaiki diri kita, bukan membaham benda busuk
yang dibawa oleh utusan yang keji itu. Oleh sebab yang datang itu dengan
keizinan Allah s.w.t ia membawa kekuatan yang tidak terdaya kita menentangnya
dengan kekuatan diri kita sendiri. Sebab itulah kita diajarkan supaya mengadu
kepada Allah s.w.t dan meminta perlindungan-Nya. Sekiranya kita menentangnya
dengan kekuatan diri kita sendiri, kita akan tewas, tetapi jika kita berlindung
di bawah payung kekuatan Allah s.w.t kita akan menang. Jadi, dalam menghadapi
perintah baik dan ‘perintah’ jahat kita mesti lari kepada Allah s.w.t kerana
segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan hanya Dia yang mampu menangani
segala sesuatu itu.
Penting bagi orang yang melatih kerohaniannya
memerhatikan gerak hatinya kerana ia adalah utusan yang membawa perkhabaran
dan pemberi petunjuk. Jika kita selalu dikunjungi oleh utusan yang membawa
kejahatan itu tandanya kita berada jauh dari Allah s.w.t, Tuan Yang Maha
Mulia. Perutusan yang sampai itu merupakan teguran agar kita membetulkan
jalan. Jalan yang sesuai untuk kita pilih dan lari ke dalamnya ialah bertaubat,
beristighfar, mengingati balasan terhadap dosa, mengingati mati dan takut
dengan sebenar-benar takut kepada Allah s.w.t yang berbuat sekehendak-Nya
tanpa boleh dihalang oleh sesiapa pun. Jika perutusan yang datang membawa
kebaikan maka jalan yang patut ditempuh ialah memperbanyakkan syukur, puji-pujian
terhadap-Nya, mensucikan-Nya, serta memperteguhkan tawakal dan reda dengan
takdir-Nya. Gerak hati atau lintasan hati adalah Kalam Allah s.w.t yang
membawa perintah, teguran, nasihat dan tanda-tanda. Semuanya menjadi ujian
kepada hati itu sendiri.