INDUK
SEGALA MAKSIAT, SYAHWAT DAN KELALAIAN ADALAH REDA TERHADAP NAFSU DAN SUMBER
SEGALA TAAT, TERPELIHARA DIRI (DARI SYAHWAT) DAN BANGUN (PADA TAAT) ADALAH
TIDAK REDA KEPADA NAFSU.
BERSAHABAT DENGAN ORANG JAHIL YANG TIDAK MENURUT HAWA NAFSU LEBIH BAIK DARIPADA BERSAHABAT DENGAN ORANG ALIM YANG TUNDUK KEPADA NAFSU. ILMU APAKAH YANG DAPAT DIPANGGIL BAGI ORANG ALIM YANG DITAWAN OLEH NAFSUNYA, SEBALIKNYA KEJAHILAN APAKAH YANG DAPAT DISEBUTKAN BAGI SESEORANG YANG SUDAH DAPAT MENGEKANG NAFSUNYA.
Hikmat 42 memaparkan sifat iblis yang menyalahi
ubudiyah. Hikmat 43 dan 44 ini pula akan menghuraikan nafsu, yang biasa
dipanggil hawa nafsu. Terdapat perbezaan antara sifat iblis dengan hawa
nafsu. Sifat iblis adalah pendatang haram sementara hawa nafsu adalah tuan
rumah yang mengizinkan pendatang haram tinggal di rumahnya. Tidak mungkin
ada sifat yang menyalahi ubudiyah jika tidak ada hawa nafsu. Malaikat tidak
mempunyai hawa nafsu, sebab itu mereka sentiasa taat dan menjalankan tugas
mereka dengan sempurna, malah mereka tidak tahu berbuat derhaka kepada
Allah s.w.t. Matahari tidak ada hawa nafsu, sebab itu ia tidak menyimpang
dari orbitnya. Manusia mempunyai hawa nafsu sebab itu manusia boleh berbuat
tidak taat dan boleh lari dari jalan lurus yang dibentangkan kepada mereka.
Iblis dan kuncu-kuncunya iaitu syaitan
bertindak memberi saranan dan cadangan tetapi tidak berkuasa menggerakkan
mana-mana anggota manusia supaya melakukan sesuatu yang dia ingini.
Tetapi, jika hawa nafsu menerima saranan dan cadangan iblis itu maka hawa
nafsu berkuasa memaksa anggota tubuh badannya supaya berbuat sebagaimana
yang disarankan oleh iblis itu. Iblis menyalurkan sifat-sifat, dan hawa
nafsulah yang menerima serta memakai sifat-sifat tersebut. Satu perkara
yang ketara adalah saranan atau idea yang disampaikan oleh iblis dan syaitan
kepada hawa nafsu itu dirasai oleh hawa nafsu bahawa saranan itu datang
dari dirinya sendiri, bukan disalurkan kepadanya dari sumber lain. Hawa
nafsu akan mempertahankan pendapat iblis dan syaitan yang diterimanya itu
seperti dia mempertahankan pendapatnya sendiri bahkan dia mendabik dada
mengakui bahawa pendapat tersebut adalah pendapatnya sendiri. Karl Marx
yang menyebarkan fahaman tidak bertuhan tidak mengatakan fahaman itu sebagai
rencana iblis tetapi dia mengakui bahawa dialah yang menemui fahaman tersebut.
Peter yang menyebarkan fahaman Tuhan tiga dalam satu tidak mengatakan iblis
yang mengajarnya tetapi mengatakan dia menerima wahyu dari Tuhan. Begitulah
kebodohan dan kesombongan hawa nafsu yang tidak sedar dirinya ditunggangi
oleh iblis dan syaitan. Apabila dia menerima cadangan dari iblis dan syaitan
dia derhaka kepada Tuhan dan melakukan syirik terhadap-Nya.
Hawa nafsu bukan setakat mampu menerima
rangsangan dari iblis dan syaitan malah dia sendiri berupaya merangsang
dirinya sendiri tanpa dirangsang oleh iblis dan syaitan. Rangsangan yang
muncul dari hawa nafsu sendiri mengarah kepada melakukan maksiat, memenuhi
tuntutan syahwat dan asyik dengan perkara yang melalaikan. Apabila iblis
dan syaitan memberi rangsangan yang sesuai dengan sifat nafsu itu sendiri
mudahlah dia melakukan maksiat dan kemunkaran. Dia tidak berasa sedih bila
berbuat kejahatan dan tidak berasa rugi bila hanyut di dalam lautan kelalaian.
Apa yang penting baginya ialah memenuhi apa yang dia ingini tanpa menghiraukan
akibatnya.
Seseorang yang diistilahkan sebagai jahil
tetapi tidak menurut hawa nafsu, tidak ada padanya sifat megah, sombong,
takbur dan bodoh. Dia boleh tunduk kepada kebenaran jika kebenaran dibentangkan
kepadanya. Dia boleh juga menyampaikan kebenaran yang diketahuinya kepada
orang lain. Jadi, kebodohan apakah yang boleh dikatakan kepada orang seperti
ini yang bersedia menerima dan menyampaikan kebenaran. Orang yang diistilahkan
sebagai alim pula, bagaimana boleh dikatakan alim jika dia menurut hawa
nafsunya, memakai sifat bodoh dan sombong, menolak kebenaran jika datang
dari orang lain atau tidak secucuk dengan kehendak nafsunya. Orang alim
yang menurut hawa nafsu tidak mengajak manusia menyembah Allah s.w.t sebaliknya
mengajak mereka menyembah ilmunya. Manusia lain menjadi alat baginya untuk
menaikkan ego dirinya sendiri. Oleh yang demikian adalah lebih baik jika
bersahabat dengan orang jahil yang tidak tunduk kepada hawa nafsunya. Kejahilan
tidak menghalangnya untuk mengenali kebenaran dan dia juga mampu memberi
sokongan ke arah kebenaran.
Sifat iblis adalah hijab diluar hati
dan hawa nafsu adalah hijab di dalam hati. Jika hijab diluar disingkapkan
dengan tenaga kebenaran, maka hijab di dalam ini juga perlu disingkapkan
dengan tenaga kebenaran. Nafsu mesti ditundukkan kepada kebenaran. Pekerjaan
ini bukanlah mudah kerana nafsu kita adalah diri kita sendiri. Tidak ada
beza pada hakikatnya diantara nafsu, hati dengan diri. Memerangi hawa nafsu
bererti memerangi diri sendiri. Di dalam diri sendiri itu berkumpul kemahuan,
cita-cita, ilmu pengetahuan dan lain-lain. Apabila mahu berperang dengan
diri sendiri tidak boleh meminta pertolongan kepada diri sendiri. Ilmu
tidak berdaya menentang hawa nafsu kerana ilmu adalah alatnya dan alat
akan patuh kepada tuannya. Perbahasan ilmu yang berlarutan akan menambahkan
kekeliruan dan akan meneguhkan nafsu. Makrifat juga tidak boleh digunakan
untuk melawan hawa nafsu kerana jika makrifat digunakan ia akan menarik
ke dalam ilmu, maka terjadilah yang serupa. Oleh itu jangan meminta tolong
kepada ilmu dan jangan meminta bantuan makrifat untuk melawan nafsu
tetapi larilah kepada Allah s.w.t. Menjeritlah sekuat-kuat hati, pintalah
pertolongan-Nya. Istiqamah atau tetap di dalam ubudiyah, menunaikan kewajipan
sambil terus berserah diri kepada-Nya, itulah kekuatan yang dapat menumpaskan
hawa nafsu. Jangan sekali-kali menuntut kekeramatan kerana ia juga menjadi
alat hawa nafsu. Tetaplah di dalam ubudiyah, tidak berubah keyakinan terhadap
Allah s.w.t, kekuasan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan ketuhanan-Nya baik ketika
sihat atau sakit, senang atau susah, kaya atau miskin, suka atau duka.
Apabila wujud sifat reda kepada ketentuan Allah s.w.t, itu tandanya hawa
nafsu sudah tunduk kepada kebenaran.