TERBUKA
MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN HAMPIRNYA ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN
MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN KETIADAAN KAMU DI SAMPING WUJUD
ALLAH S.W.T. PENYAKSIAN HAKIKI MATA HATI MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU HANYA
ALLAH YANG WUJUD, TIDAK TERLIHAT LAGI KETIADAAN KAMU DAN WUJUD KAMU.
Apabila hati sudah menjadi bersih maka
hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia
akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal
ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri. Renungan akal terhadap
dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan
yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan dengan mendalam
betapa hampirnya Allah s.w.t dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya
perasaan bahawa Allah s.w.t sentiasa mengawasinya. Allah s.w.t melihat
segala gerak-gerinya, mendengar pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya.
Jadilah dia seorang Mukmin yang cermat dan berwaspada.
Di antara sifat yang dimiliki oleh orang
yang sampai kepada martabat Mukmin ialah:
1: Cermat dalam pelaksanaan hukum Allah s.w.t.
2: Hati tidak cenderung kepada harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak sayang membantu orang lain dengan harta yang dimilikinya.
3: Bertaubat dengan sebenarnya (taubat nasuha) dan tidak kembali lagi kepada kejahatan.
4: Rohaninya cukup kuat untuk menanggung kesusahan dengan sabar dan bertawakal kepada Allah s.w.t.
5: Kehalusan kerohaniannya membuatnya berasa malu kepada Allah s.w.t dan merendah diri kepada-Nya.
1: Cermat dalam pelaksanaan hukum Allah s.w.t.
2: Hati tidak cenderung kepada harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak sayang membantu orang lain dengan harta yang dimilikinya.
3: Bertaubat dengan sebenarnya (taubat nasuha) dan tidak kembali lagi kepada kejahatan.
4: Rohaninya cukup kuat untuk menanggung kesusahan dengan sabar dan bertawakal kepada Allah s.w.t.
5: Kehalusan kerohaniannya membuatnya berasa malu kepada Allah s.w.t dan merendah diri kepada-Nya.
Orang Mukmin yang taat kepada Allah
s.w.t, kuat melakukan ibadat, akan meningkatlah kekuatan rohaninya. Dia
akan kuat melakukan tajrid iaitu menyerahkan urusan kehidupannya kepada
Allah s.w.t. Dia tidak lagi khuatir terhadap sesuatu yang menimpanya, walaupun
bala yang besar. Dia tidak lagi meletakkan pergantungan kepada sesama makhluk.
Hatinya telah teguh dengan perasaan reda terhadap apa jua yang ditentukan
Allah s.w.t untuknya. Bala tidak lagi menggugat imannya dan nikmat tidak
lagi menggelincirkannya. Baginya bala dan nikmat adalah sama iaitu takdir
yang Allah s.w.t tentukan untuknya. Apa yang Allah s.w.t takdirkan itulah
yang paling baik. Orang yang seperti ini sentiasa di dalam penjagaan Allah
s.w.t kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t
kurniakan kepadanya keupayaan untuk melihat dengan mata hati dan bertindak
melalui Petunjuk Laduni, tidak lagi melalui fikiran, kehendak diri sendiri
atau angan-angan. Pandangan mata hati kepada hal ketuhanan memberi kesan
kepada hatinya (kalbu). Dia mengalami suasana yang menyebabkan dia menafikan
kewujudan dirinya dan diisbatkannya kepada Wujud Allah s.w.t. Suasana ini
timbul akibat hakikat ketuhanan yang dialami oleh hati.. Dia berasa benar-benar
akan keesaan Allah s.w.t bukan sekadar mempercayainya. Pengalaman tentang
hakikat dikatakan memandang dengan mata hati. Mata hati melihat atau menyaksikan
keesaan Allah s.w.t dan hati merasakan akan keadaan keesaan itu. Mata hati
hanya melihat kepada Wujud Allah s.w.t, tidak lagi melihat kepada wujud
dirinya. Orang yang di dalam suasana seperti ini telah berpisah dari sifat-sifat
kemanusiaan. Dalam berkeadaan demikian dia tidak lagi mengendahkan
peraturan masyarakat. Dia hanya mementingkan soal perhubungannya dengan
Allah s.w.t. Soal duniawi seperti makan, minum, pakaian dan pergaulan tidak
lagi mendapat perhatiannya. Kelakuannya boleh menyebabkan orang ramai menyangka
dia sudah gila. Orang yang mencapai peringkat ini dikatakan mencapai makam
tauhid sifat. Hatinya jelas merasakan bahawa tidak ada yang berkuasa melainkan
Allah s.w.t dan segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t.
Rohani manusia melalui beberapa peningkatan
dalam proses mengenal Tuhan. Pada tahap pertama terbuka mata hati dan Nur
Kalbu memancar menerangi akalnya. Seorang Mukmin yang akalnya diterangi
Nur Kalbu akan melihat betapa hampirnya Allah s.w.t. Dia melihat dengan
ilmunya dan mendapat keyakinan yang dinamakan ilmul yaqin. Ilmu berhenti
di situ. Pada tahap keduanya mata hati yang terbuka sudah boleh melihat.
Dia tidak lagi melihat dengan mata ilmu tetapi melihat dengan mata hati.
Keupayaan mata hati memandang itu dinamakan kasyaf. Kasyaf melahirkan pengenalan
atau makrifat. Seseorang yang berada di dalam makam makrifat dan mendapat
keyakinan melalui kasyaf dikatakan memperolehi keyakinan yang dinamakan
ainul yaqin. Pada tahap ainul yaqin makrifatnya ghaib dan dia juga ghaib
dari dirinya sendiri. Maksud ghaib di sini adalah hilang perhatian dan
kesedaran terhadap sesuatu perkara.. Beginilah hukum makrifat yang berlaku.
Makrifat lebih tinggi nilainya dari ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan
adalah pencapaian terhadap persoalan yang terpecah-pecah bidangnya. Makrifat
pula adalah hasil pencapaian terhadap hakikat-hakikat yang menyeluruh iaitu
hakikat kepada hakikat-hakikat. Tetapi, penyaksian mata hati jauh lebih
tinggi dari ilmu dan makrifat kerana penyaksian itu adalah hasil dari kemahuan
keras dan perjuangan yang gigih disertai dengan upaya hati dan pengalaman.
Penyaksian adalah setinggi-tinggi keyakinan. Penyaksian yang paling tinggi
ialah penyaksian hakiki oleh mata hati. Ia merupakan keyakinan yang paling
tinggi dan dinamakan haqqul yaqin. Pada tahap penyaksian hakiki mata hati,
mata hati tidak lagi melihat kepada ketiadaan dirinya atau kewujudan dirinya,
tetapi Allah s.w.t dilihat dalam segala sesuatu, segala kejadian, dalam
diam dan dalam tutur-kata. Penyaksian hakiki mata hati melihat-Nya tanpa
dinding penutup antara kita dengan-Nya. Tiada lagi antara atau ruang antara
kita dengan Dia. Dia berfirman:
Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid)
Dia tidak terpisah dari kamu. Penyaksian
yang hakiki ialah melihat Allah s.w.t dalam segala sesuatu dan pada setiap
waktu. Pandangannya terhadap makhluk tidak menutup pandangannya terhadap
Allah s.w.t. Inilah makam keteguhan yang dipenuhi oleh ketenangan
serta kedamaian yang sejati dan tidak berubah-ubah, bernaung di bawah payung
Yang Maha Agung dan Ketetapan Yang Teguh. Pada penyaksian yang hakiki tiada
lagi ucapan, tiada bahasa, tiada ibarat, tiada ilmu, tiada makrifat, tiada
pendengaran, tiada kesedaran, tiada hijab dan semuanya sudah tiada. Tabir
hijab telah tersingkap, maka Dia dipandang tanpa ibarat, tanpa huruf, tanpa
abjad. Allah s.w.t dipandang dengan mata keyakinan bukan dengan mata zahir
atau mata ilmu atau kasyaf. Yakin, semata-mata yakin bahawa Dia yang dipandang
sekalipun tidak ada sesuatu pengetahuan untuk diceritakan dan tidak ada
sesuatu pengenalan untuk dipamerkan.
Orang yang memperolehi haqqul yaqin
berada dalam suasana hatinya kekal bersama-sama Allah s.w.t pada setiap
ketika, setiap ruang dan setiap keadaan. Dia kembali kepada kehidupan seperti
manusia biasa dengan suasana hati yang demikian, di mana mata hatinya sentiasa
menyaksikan Yang Hakiki. Allah s.w.t dilihat dalam dua perkara yang berlawanan
dengan sekali pandang. Dia melihat Allah s.w.t pada orang yang membunuh
dan orang yang kena bunuh. Dia melihat Allah s.w.t yang menghidupkan dan
mematikan, menaikkan dan menjatuhkan, menggerakkan dan mendiamkan. Tiada
lagi perkaitannya dengan kewujudan atau ketidakwujudan dirinya. Wujud Allah
Esa, Allah s.w.t meliputi segala sesuatu.