TIDAK
BERCITA-CITA SEORANG SALIK UNTUK BERHENTI KETIKA TERJADI KASYAF (TERBUKA
PERKARA GHAIB) MELAINKAN SUARA HAKIKI BERSERU KEPADANYA: “ APA YANG KAMU
CARI MASIH JAUH DI HADAPAN (OLEH ITU JANGAN KAMU BERHENTI)!” DAN
TIDAK TERBUKA BAGINYA ALAM MAYA MELAINKAN DIPERINGATKAN OLEH HAKIKAT ALAM
ITU: “SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH UJIAN, KERANA ITU JANGANLAH KAMU KUFUR!"
Latihan penyucian hati membawa rohani si
salik meningkat dari satu peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi.
Kekuatan rohaninya bertambah dan pada masa yang sama juga pengaruh serta
kesedaran inderawinya berkurangan. Dalam keadaan seperti ini rohaninya
mampu menjadi penasihat kepada dirinya sendiri. Bila terlintas dalam hatinya
untuk melakukan kesalahan akan tercetuslah perasaan membantah perbuatan
tersebut, seolah-olah ada orang yang menasihatinya. Apabila sampai kepada
satu peringkat kesucian hati akan terbuanglah dari hatinya lintasan-lintasan
yang bersifat duniawi, syaitani dan nafsi.
Lintasan duniawi mengheret kepada
kelalaian, keseronokan dan kesenangan harta benda. Lintasan syaitani mengheret
kepada melakukan syirik dan bidaah yang bertentangan dengan Sunah Rasulullah
s.a.w. Lintasan nafsi pula mendorong kepada maksiat dan kemunkaran. Bila
hati sudah terdinding daripada lintasan-lintasan jahat maka hati akan didatangi
oleh lintasan malaki (malaikat) dan Rahmani (Tuhan).
Lintasan malaki mengajak kepada berbuat
taat kepada Allah s.w.t dan meninggalkan tegahan-Nya. Lintasan Rahmani
pula adalah tarikan langsung daripada Tuhan. Dalam lintasan-lintasan duniawi,
syaitani, nafsi dan malaki, manusia mempunyai pilihan untuk menerima ataupun
menolak cetusan atau rangsangan yang diterimanya itu. Akal dan imannya
boleh memikir dan menimbang akan sebab dan akibat jika dia mengikuti sesuatu
rangsangan itu. Tetapi, dalam lintasan Rahmani hamba tidak ada pilihan,
tidak ada hukum sebab musabab yang boleh mencegahnya dan tidak ada hukum
logik yang boleh menghuraikannya. Misalnya, seorang yang tidak pernah turun
ke laut, tiba-tiba pada satu hari tanpa boleh ditahan-tahan dia pergi ke
laut dan mandi, lalu mati lemas. Soalnya, tidak dapat diterangkan mengapa
dengan tiba-tiba dia mahu mandi di laut dan dia tidak dapat melawan keinginan
yang timbul dalam hatinya itu. Kuasa yang menariknya ke laut dan mandi
lalu mati di situ dinamakan lintasan Rahmani atau tarikan ketuhanan. Dalam
perjalanan kerohanian mungkin seorang salik itu menerima lintasan Rahmani
yang mengheretnya melakukan sesuatu yang kelihatan aneh, tidak masuk akal
dan dia sendiri tidak dapat memberi penjelasan tentang tindak tanduknya
walaupun dia masih dapat melihat perbuatan yang dilakukan oleh dirinya
sendiri itu.
Semasa pengembaraannya ke dalam alam
kerohanian si salik mungkin memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban
kepadanya. Dia dapat melihat apa yang tersembunyi. Dia mungkin dapat melihat
kepada peristiwa yang akan berlaku, dan yang telah berlaku. Mungkin juga
dia dikurniakan kekeramatan seperti ‘mulut masin’, berjalan di atas air,
menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Dia juga mungkin dapat melihat dengan
mata hatinya keadaan Alam Barzakh, syurga dan neraka. Penemuan perkara-perkara
yang ganjil, ajaib dan indah-indah boleh mempesonakan si salik dan boleh
menyebabkan dia menjadi keliru dengan merasakan dia sudah sampai ke puncak,
lalu dia berhenti di situ. Lebih membahayakan lagi jika si salik tidak
mendapat bimbingan guru atau guru yang membimbingnya tidak memahami tentang
selok-belok alam kerohanian. Si guru tidak dapat menjelaskan pengalaman
aneh yang dialami oleh murid lalu si murid tidak ada pilihan kecuali membuat
tafsirannya sendiri. Oleh sebab pengalaman tersebut adalah berkenaan perkara
ghaib maka murid tadi mudah menyangkakan segala yang ghaib itu adalah aspek
ketuhanan.
Di sini timbullah berbagai-bagai
anggapan tentang Tuhan, kerana dia menyangkakan yang dia telah melihat
zat Tuhan. Timbullah sangkaan yang Tuhan adalah nur dengan warna yang tertentu.
Ada pula yang beranggapan Tuhan itu rupanya tegak seperti huruf alif. Ada
pula yang mengatakan Tuhan adalah cahaya yang sangat halus. Bermacam-macam
lagi anggapan tentang Tuhan muncul akibat kejahilan mengenai alam ghaib.
Prasangka yang meletakkan Zat Allah s.w.t di dalam ruang dan berbentuk
adalah kekufuran. Bahaya penyelewengan akidah kepada orang yang belajar
ilmu hakikat kepada yang bukan mursyid adalah besar. Orang yang belajar
ilmu hakikat cara demikian membahaskan zat Ilahiat dengan menggunakan akalnya
sedangkan akal tidak ada pengetahuan tentang zat.
Murid atau salik yang mendapat bimbingan
daripada guru yang mursyid dan beroleh rahmat, taufik dan hidayat daripada
Allah s.w.t akan dapat melalui fitnah yang tersebut di atas dengan selamat.
Salik yang masuk ke dalam Tarikan ketuhanan akan berjalan terus walau apa
pun yang ditemuinya di tengah jalan, sekalipun dia ditawarkan dengan syurga.
Tarikan ketuhanan yang memimpin salik itu dinamakan Petunjuk Ilmu, Perintah
Batin, Petunjuk Laduni atau Suara Hakiki atau Pembimbing Hakiki. Ia adalah
tarikan langsung daripada Allah s.w.t agar hamba yang Allah s.w.t mahu
temui itu selamat sampai kepada-Nya. Salik menafikan semua yang ditemuinya.
Selagi boleh disaksikan ia adalah sifat bukan zat. Sepanjang perjalanannya
salik melihat bekas gubahan Tuhan, pengungkapan hikmat kebijaksanaan-Nya
dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal
tertutup rapat oleh nur di balik nur dan tidak dapat ditembusi oleh sesiapa
pun dan penglihatan yang bagaimana pun. Jika nur yang disaksikan, maka
nur adalah salah satu daripada tanda-tanda-Nya dan juga salah satu daripada
Nama-nama-Nya. Setelah habis yang dinafikan salik sampai kepada puncak
kedunguannya iaitu pengakuan tentang kelemahannya mengenai zat Ilahiat.
Inilah puncak pencapaian dan orang yang sampai kepada hakikat ini dinamakan
orang yang bermakrifat atau orang yang mengenal Allah s.w.t. Dia mencapai
hakikat maksud:
Tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya.
Tidak ada yang menyerupai-Nya dan
menyamai-Nya, mana mungkin ada gambaran tentang-Nya yang boleh ditangkap
oleh penglihatan? Kebodohan dan kedunguan adalah hijab yang asli dan tidak
mungkin tersingkap ditentang zat Ilahiat kecuali pada hari akhirat apabila
seseorang hamba diizinkan memandang dengan pandangan mata. Sebelum itu
tidak mungkin melihat Allah s.w.t dengan terang-terang. Apa yang diistilahkan
sebagai melihat Allah s.w.t ialah menyaksikan Allah s.w.t pada sesuatu
yang didalamnya terdapat bekas penciptaan-Nya, tanda-tanda-Nya, hikmat-Nya
dan tadbir-Nya. Ia merupakan penglihatan akal serta mata hati atau melihat
Nur-Nya iaitu melihat Rahsia Allah s.w.t yang tersembunyi pada sekalian
kejadian-Nya. Zat Ilahiat tetap tinggal tertutup oleh keghaiban yang mutlak
(Ghaibul Ghuyub).
Orang sufi selalu mengatakan mereka
melihat Allah s.w.t. Apa yang mereka maksudkan ialah penglihatan ilmu dan
penglihatan hati nurani, penglihatan yang mengandungi rasa kecintaan yang
sangat mendalam terhadap Allah s.w.t, dan kerinduan yang membara di dalam
hati mereka. Itulah penglihatan mereka yang gilakan Allah s.w.t. Jangan
ditafsirkan ucapan mereka secara lafaz tetapi selami hati mereka untuk
memahami keasyikan dan kemabukan yang mereka alami.