JANGAN
MENJADIKAN SAHABAT (TEMAN HIJRAH) AKAN ORANG YANG TIDAK MEMBANGKITKAN SEMANGAT
KEPADA ALLAH S.W.T DAN PERKATAANNYA TIDAK MEMIMPIN KE JALAN ALLAH S.W.T.
KEMUNGKINAN ENGKAU KELIRU TETAPI MENGANGGAPKAN ENGKAU BENAR LANTARAN PERSAHABATAN ENGKAU DENGAN ORANG YANG LEBIH RENDAH HALNYA (KEADAAN ROHANINYA) DARI KAMU.
Orang yang melakukan perjalanan cenderung
membawa sahabat bersama-samanya. Ada sahabat berfungsi sebagai khadam.
Ada sahabat yang berguna untuk berbicara dan ada sahabat yang boleh menjadi
penunjuk jalan. Muhajirin (orang yang berhijrah) kepada Allah s.w.t dan
Rasul-Nya tidak memerlukan khadam. Dia mungkin memerlukan sahabat berbicara,
tetapi yang sangat diperlukannya ialah sahabat yang boleh menjadi penunjuk
jalan. Seseorang haruslah berhati-hati dalam memilih sahabat penunjuk jalan.
Orang yang hendak dijadikan pembimbing itu hendaklah seorang yang boleh
membangkitkan semangat untuk bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada
Allah s.w.t dan perkataannya mengandungi hikmah yang menggerakkan hati
agar menghadap Allah s.w.t.
Orang yang layak membimbing orang lain
pada jalan kerohanian adalah orang yang telah menempuh sendiri jalan tersebut
dan telah mengalami hal-hal (hakikat-hakikat) serta memperolehi makrifat.
Mungkin sukar untuk kita mengetahui hal sebenar orang yang demikian namun,
sekiranya diperhatikan, pengalaman dan pencapaiannya terbayang pada kelakuan
dan pertuturannya. Kelakuannya membangkitkan semangat orang di sekelilingnya
agar beramal bersungguh-sungguh bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Perkataannya pula mengandungi nasihat dan tunjuk ajar yang menggerakkan
hati supaya menghadap kepada Allah s.w.t. Apabila orang yang sedang menjalani
jalan kerohanian bersahabat dengan orang arif yang demikian, dia akan dapat
menghilangkan kekeliruan yang mungkin dialaminya semasa pengembaraannya.
Sekiranya si salik memilih sahabat dari kalangan orang yang tidak pernah
mengalami zauk hakikat dan makrifat dan kedudukan kerohanian orang tadi
jauh lebih rendah daripadanya, si salik itu tidak akan mendapat bimbingan
yang diharapkannya. Kehadiran sahabat yang demikian mungkin tidak membangkitkan
semangat untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t dan ucapannya tidak melahirkan
keghairahan menghadap Allah s.w.t. Lebih bahaya lagi jika dia memberi petunjuk
yang salah kepada si salik. Kemungkinan terjadi si salik melakukan kesalahan
tetapi dia tidak menyedari akan kesalahan tersebut, dan sahabatnya juga
tidak menyedarinya. Si salik itu terus berpegang pada pendapat yang salah
dan sahabatnya memberi sokongan. Dia menganggap benar apa yang sebenarnya
salah. Sekiranya perkara yang salah itu melibatkan soal akidah, kemungkinan
salah iktikad itu membawa kepada kekufuran.
Bertambah jauh perjalanan bertambah
banyak perkara pelik yang dialami dan kekeliruan yang dihadapi menjadi
bertambah sulit. Hanya sahabat yang terdiri daripada orang arif dapat menerangkan
setiap pengalaman kerohanian yang dilalui dan menyingkap segala kekeliruan
yang dihadapi.
Syaitan akan sentiasa mencari jalan
untuk menghalang dan menyesatkan orang yang cuba berjalan di atas jalan
yang lurus.
Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): ‘Marilah bersama-sama kami’. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian makhluk”. ( Ayat 71 : Surah al-An’aam )
Orang yang dikelirukan oleh syaitan tidak
dapat mengenali sahabat yang benar-benar mengajak kepada petunjuk. Syaitan
membuatnya menjadi bingung, lalu dia menyangka bahawa dia sudah berada
di atas jalan yang lurus sedangkan dia telah tersalah jalan. Sahabat memainkan
peranan yang penting dalam membantu seseorang mencari yang hak.