JANGAN
MENGHAIRANKAN KAMU LANTARAN TERJADI KEKERUHAN KETIKA KAMU BERADA DI DALAM
DUNIA KERANA SESUNGGUHNYA KEKERUHAN ITU TIDAK TERJADI MELAINKAN KERANA
BEGITULAH YANG PATUT TERJADI DAN ITULAH SIFATNYA (DUNIA) YANG ASLI.
Hikmat yang lalu menyingkap halangan secara
umum dan Hikmat 32 ini pula mengkhususkan kepada dunia sebagai hijab
yang menutupi pandangan hati terhadap Allah s.w.t. Halangan inilah yang
banyak dihadapi oleh manusia. Manusia menghadapi peristiwa yang berlaku
di dalam dunia dengan salah satu dari dua sikap iaitu sama ada mereka melihat
apa yang terjadi adalah akibat perbuatan makhluk ataupun mereka memandangnya
sebagai perbuatan Tuhan. Hikmat 32 ini menjuruskan kepada golongan yang
melihat peristiwa yang berlaku dalam dunia sebagai perbuatan Tuhan tetapi
mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Tuhan dalam perbuatan-Nya.
Manusia yang telah memperolehi keinsafan
dan hatinya sudah beransur bersih, dia akan cenderung untuk mencari kesempurnaan.
Dia sangat ingin untuk melihat syariat Allah s.w.t menjadi yang termulia
di atas muka bumi ini. Dia sangat ingin melihat umat Nabi Muhammad s.a.w
menjadi pemimpin kepada sekalian umat manusia. Dia ingin melihat semua
umat manusia hidup rukun damai Dia inginkan segala yang baik-baik dan sanggup
berkorban untuk mendatangkan kebaikan kepada dunia. Begitulah sebahagian
daripada keinginan yang lahir di dalam hati orang yang hatinya sudah beransur
bersih. Tetapi, apa yang terjadi adalah kebalikan daripada apa yang menjadi
hasrat murni si hamba Allah s.w.t yang insaf itu. Huru hara berlaku dimana-mana.
Pembunuhan berlaku di sana sini. Umat Islam ditindas di merata tempat.
Kezaliman dan ketidak-adilan berlaku dengan berleluasa. Seruan kepada kebaikan
tidak diendahkan. Ajakan kepada perdamaian tidak dipedulikan. Perbuatan
maksiat terus juga dilakukan tanpa segan-silu.
Si hamba tadi melihat kekeruhan yang terjadi
di dalam dunia dan merasakan seperti mata tombak menikam ke dalam hatinya.
Hatinya merintih, “Agama-Mu dipermainkan, di manakah pembelaan dari-Mu
wahai Tuhan! Umat Islam ditindas, di manakah pertolongan-Mu Wahai Tuhan!
Seruan kepada jalanMu tidak disambut, apakah Engkau hanya berdiam diri
wahai Tuhan! Manusia melakukan kezaliman, kemaksiatan dan kemunkaran, apakah
Engkau hanya membiarkan wahai Tuhan?” Beginilah keadaan hati orang yang
berasa hairan melihat kekeruhan kehidupan dunia ini dan dia tidak berkuasa
menjernihkannya. Allah s.w.t menjawab keluhan hamba-Nya dengan firmanNya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )
Para malaikat sudah dapat membayangkan
tentang kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia
sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat dunia yang dinyatakan oleh
malaikat ialah huru-hara dan pertumpahan darah. Dunia adalah ibu sementara
huru-hara dan pertumpahan darah adalah anaknya. Ibu tidak melahirkan kecuali
anak dari jenisnya juga. Kelahiran huru-hara, peperangan, pembunuhan dan
sebagainya di dalam dunia adalah sesuatu yang seharusnya terjadi di dalam
dunia, maka tidak perlu dihairankan. Jika terdapat kedamaian dan keharmonian
di sana sini di dalam dunia, itu adalah sagu-hati atau kelahiran
yang tidak mengikut sifat ibunya. Seterusnya Allah s.w.t menceritakan tentang
dunia:
Allah berfirman, “Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )
Allah berfirman lagi : “Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”. ( Ayat 25 : Surah al-A’raaf)
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. ( Ayat 185 : Surah a-li ‘Imraan )
Allah s.w.t menerangkan dengan jelas
tentang sifat-sifat dunia yang dihuni oleh manusia. Manusia bermusuhan
sesama sendiri, saling rosak merosakkan dan kesenangannya adalah tipu daya.
Segala perkiraan dan pembalasan yang berlaku di dalam dunia ini tidak sempurna.
Manusia dibahagikan kepada dua golongan
iaitu yang beriman dan yang tidak beriman. Golongan yang tidak beriman
menerima upah terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia ini
lagi dan di akhirat kelak mereka tidak boleh menuntut apa-apa lagi
dari Tuhan. Janganlah menghairankan dan mendukacitakan sekiranya Tuhan
membalas kebaikan mereka ketika mereka masih hidup di dalam dunia dengan
memberikan kepada mereka berbagai-bagai kelebihan dan kemewahan. Mereka
tidak berhak lagi menuntut nikmat akhirat dan tempat kembali mereka di
sana kelak ialah neraka jahanam. Begitu juga janganlah menghairankan dan
mendukacitakan sekiranya orang-orang yang beriman dan beramal salih terpaksa
menghadapi penderitaan dan penghinaan semasa hidup di dunia. Dunia ini
tidak layak menjadi tempat buat Allah s.w.t membalas kebaikan mereka. Balasan
kebaikan dari Allah s.w.t sangat tinggi nilainya, sangat mulia dan sangat
agung, tidak layak dimuatkan di dalam dunia yang hina dan rendah ini. Dunia
hanyalah tempat hidup, beramal dan mati. Bila berlaku kiamat kita akan
dibangkitkan dan menunggu kita adalah negeri yang abadi.