AL-HAQ
(ALLAH S.W.T) TIDAK TERHIJAB OLEH SESUATU APA PUN, SEBALIKNYA KAMULAH YANG
TERHIJAB DARI MELIHAT KEPADA-NYA. JIKA ALLAH S.W.T DIHIJAB OLEH SESUATU
TENTU SESUATU ITU DAPAT MENUTUP ALLAH S.W.T. JIKA ADA SESUATU YANG MENUTUP
ALLAH S.W.T BERMAKNA WUJUDNYA DAPAT DIKURUNG OLEH SESUATU. SESUATU YANG
MENGURUNG ADALAH LEBIH BERKUASA DARI YANG DIKURUNG, SEDANGKAN ALLAH S.W.T
BERKUASA ATAS SEMUA HAMBA-NYA.
Dunia dan akhirat dan semua yang ada di
antara kedua-duanya adalah makhluk yang memenuhi alam. Apa sahaja yang
selain Allah s.w.t adalah makhluk dan mengambil tempat masing-masing di
dalam alam. Makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan setakat manusia, jin, malaikat,
Kursi dan Arasy sahaja bahkan kehendak, cita-cita, angan-angan, khayalan,
bahasa, ibarat dan ilmu pengetahuan juga termasuk dalam istilah makhluk
yang Allah s.w.t ciptakan. Oleh sebab Allah s.w.t tidak serupa dengan sesuatu
maka Dia tidak boleh dibahasakan, diibaratkan, disifatkan, dikhayalkan
dan lain-lain. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah hijab yang menutup
pandangan mata hati dari melihat Allah s.w.t, walaupun Allah s.w.t tidak
memakai tutupan. Nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan adalah juga hijab.
Sekiranya ada orang yang mampu berkenderaan
menjelajah ke seluruh alam maya untuk mencari Allah s.w.t nescaya Allah
s.w.t tidak akan ditemuinya kerana Dia bukan anasir alam. Sekiranya mereka
mencari dengan menggunakan bahasa maka Allah s.w.t juga tidak akan ditemui
kerana Dia tidak ditakluki oleh hukum bahasa dan ibarat. Ilmu pengetahuan
juga tidak sanggup mencapai Yang Esa kerana ilmu masih terikat kepada menyaksikan
dan disaksikan iaitu suasana serba dua. Ilmu tidak mampu sampai kepada
Yang Esa, yang sama menyaksikan dan disaksikan. Nama-nama juga hijab kerana
tidak mampu menzahirkan Yang Empunya nama. Sifat-sifat juga tidak mampu
menzahirkan zat. Sifat hanyalah sekadar memperihalkan bagi menggerakkan
pemahaman sahaja, sedangkan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang
disifatkan. Setelah gagal mencari dalam semua itu seseorang akan sampai
ke puncak pencariannya iaitu kejahilan tentang zat Ilahiat dan inilah yang
dinamakan makrifat. Orang yang sampai di sinilah yang dipanggil orang yang
mengenal Allah s.w.t.
Sekiranya ilmu mampu melepaskan
kita dari medan ilmu, kita akan sampai kepada medan makrifat. Jika kita
bersatu dengan ilmu, kita akan terhijab. Ilmu mesti dijadikan kenderaan
menuju kepada makrifat. Diri kita tidak boleh disatukan dengan ilmu. Apabila
kita tiba kepada makrifat kita akan tercengang-cengang menghadapi hijab
kejahilan. Kita terpaksa mengakui bahawa zat Ilahiat tidak dapat diperkatakan
dan tidak dapat disifatkan. Orang yang sampai kepada perhentian ini tidak
ada jalan lagi baginya untuk sampai kepada Allah s.w.t melainkan menyerahkan
dirinya kepada Allah s.w.t dengan menanggalkan apa sahaja yang dianggapnya
boleh menyampaikannya kepada Allah s.w.t. Maka keluarlah dia dari apa sahaja
yang selain Allah s.w.t. Dibuangnya segala hijab-hijab yang menutupi mata
hatinya. Dia keluar dari ilmunya, amalnya, makrifatnya, sifatnya, namanya,
bahasa dan ibarat. Pelepasan yang menyeluruh ini adalah pintu masuk ke
Hadrat-Nya dan dia masuk dengan kekuatan Nurullah, iaitu tarikan yang langsung
dari Allah s.w.t.
Nur berlapis nur, Allah memimpin sesiapa yang di kehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Makhluk tidak akan zahir jika tidak
ada Nur-Nya. Makrifat tidak mungkin dicapai tanpa suluhan Nur-Nya. Ilmu
tidak mungkin diperolehi tanpa penerangan Nur-Nya. Mata hati tidak mungkin
boleh melihat tanpa pancaran cahaya Nur-Nya. Allah s.w.t memimpin kepada
Nur-Nya siapa yang Dia kehendaki. Orang yang dipimpin kepada Nur-Nya adalah
orang yang mampu keluar dari hijab nafsu dan akal. Nafsu ditundukkan kepada
yang hak sehingga tidak ada keinginan dan cita-cita melainkan mahu bertemu
dengan Allah s.w.t. Akal ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada
yang difikir dan direnungi melainkan Wajah Allah s.w.t jua yang menyata
pada semua arah. Walau ke arah mana pun dihalakan pandangan akal dan pandangan
hati, Wajah Allah s.w.t jua yang kelihatan.
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )