HENDAKLAH
BERBELANJA AKAN KEKAYAANNYA BAGI MEREKA YANG TELAH SAMPAI KEPADA ALLAH
S.W.T DAN MENURUT KADAR KEMAMPUANNYA BAGI YANG SEDANG BERJALAN KEPADA ALLAH
S.W.T.
Hikmat 38 di atas mengemukakan ujian kepada
hati sejauh mana kekuatannya beriman, berserah diri dan yakin dengan janji
Allah s.w.t. Ia juga menjadi pengukur pada tahap mana seseorang yang berjalan
pada jalan kerohanian itu berada. Hikmat di atas menjurus khusus kepada
harta kekayaan. Harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia.
Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat
seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah
juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital,
sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan
harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia
berkisar pada soal harta atau ekonomi. Pendidikan dan kemahiran disalurkan
ke arah ekonomi. Kejayaan atau kegagalan dinilai melalui faktor ekonomi.
Perhatian manusia sentiasa tertuju kepada soal ekonomi atau harta dalam
membuat sesuatu keputusan.
Apabila harta sudah bertapak dalam
jiwa seseorang manusia akan menjual maruah dirinya kerana harta. Orang
miskin sanggup diperkudakan oleh orang kaya kerana harta. Orang kaya sanggup
melakukan rasuah dan penganiayaan kerana harta. Harta menjadi raja menguasai
jiwa raga manusia. Segala sesuatu dinilai dengan harta. Persahabatan harus
dibeli dengan harta. Kesetiaan juga perlu dibayar dengan harta.
Hikmat di atas menarik perhatian orang
yang sedang berjalan pada jalan kerohanian agar memerhatikan hatinya, bagaimanakah
hubungan hatinya dengan harta. Ia menyatakan bahawa orang yang telah sampai
kepada Allah s.w.t dan memperolehi makrifat-Nya tidak seharusnya menyimpan
harta, hendaklah dia membelanjakan ke jalan Allah s.w.t dan yakin dengan
janji Allah s.w.t tentang rezekinya. Orang yang masih dalam perjalanan
pula hendaklah membelanjakan ke jalan Allah s.w.t menurut kesanggupannya.
Sejarah banyak menceritakan tentang sikap hamba-hamba pilihan Allah s.w.t
terhadap harta.
Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a menyumbangkan
kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya.
Bila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan
sedikit buat menguruskan keperluannya, beliau r.a menjawab, “Cukuplah Allah
dan Rasulullah bagiku”.
Abdul Rahman bin Auf yang terkenal
dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi
untuk kegunaan menyebarkan agama Allah s.w.t. Salman al-Farisi ketika memegang
jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun
kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijualnya dan apa
yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai
modal pusingan, satu bahagian buat belanja ahli rumahnya dan satu bahagian
lagi disedekahkan kepada golongan miskin.
Imam as-Syafi’e r.a sekembalinya
ke Makkah dari Yaman telah dihadiahkan puluhan ribu wang emas. Sebelum
memasuki kota Makkah beliau telah mendirikan sebuah khemah di luar kota.
Dikumpulkan golongan fakir dan miskin dan disedekahkan kesemua wang yang
diterimanya sebagai hadiah itu. Setelah kesemua wang itu habis disedekahkan
baharulah beliau masuk ke kota Makkah.
Rabiatul Adawiah hanya menyimpan sehelai
tikar yang usang sebagai sejadah dan sebiji kendi buat mengisi air untuk
wuduknya. Beliau tidak menyimpan makanan untuk petangnya. Banyak lagi kisah
aulia Allah s.w.t yang menggambarkan bahawa tidak sebesar zarah pun hati
mereka terikat dengan harta. Mereka melihat pengidupan dunia ini hanyalah
persinggahan sebentar, tidak perlu mengambil bekalan.
Bagi orang yang masih dalam perjuangan
dan belum lagi sampai kepada Allah s.w.t, mereka tidak sanggup berbuat
sebagaimana yang dilakukan oleh aulia Allah s.w.t. Sungguhpun begitu jika
dibiarkan harta melekat pada hati akan membahayakan hati itu sendiri. Oleh
itu biasakanlah berpisah daripada harta yang disayangi agar rohani akan
menjadi lebih kuat dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. ( Ayat 7 : Surah at-Talaaq )
Oleh kerana bidang ekonomi merupakan salah
satu fardu kifayah yang perlu diuruskan demi kesejahteraan dan kekuatan
kaum muslimin, maka Allah s.w.t memilih dari kalangan kaum muslimin orang-orang
tertentu yang dipermudahkan bagi mereka mengembangkan ekonomi mereka. Allah
s.w.t bukakan bagi mereka pintu-pintu rezeki. Allah s.w.t kurniakan kepada
mereka rezeki yang melimpah-ruah. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan
menadah bekas dan rezeki dicurahkan ke dalam bekas mereka.
Orang yang menyedari harta kekayaannya
adalah kurniaan Allah s.w.t, maka harta kekayaan itu menjadi ujian baginya.
Orang yang tidak menyedarinya pula, maka harta kekayaan itu menjadi alat
istidraj yang akan menghempapnya kelak. Baik ujian mahu pun istidraj, orang
yang memikul harta sebenarnya memikul beban yang sangat berat. Golongan
yang menghadapi hisab yang paling halus di akhirat kelak adalah mereka
yang di dunia memikul harta.
Walaupun memikul harta merupakan
beban yang berat tetapi sebahagian kaum muslimin perlu mengambil tugas
tersebut sebagaimana sebahagian kaum muslimin yang mengambil bidang jihad
fi-sabilillah dan mati syahid di medan perang. Dari kalangan nabi-nabi
juga ada yang memikul tugas yang berhubung dengan harta, misalnya Nabi
Yusuf a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Daud a.s. Al-Quran menceritakan tentang
Nabi Yusuf a.s:
Dia (Yusuf) berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); kerana sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. ( Ayat 55 : Surah Yusuf )
Nabi Yusuf a.s mengetahui sifat dirinya
dan kebolehan yang ada dengannya. Beliau a.s telah menjalani kehidupan
yang membuatkan harta tidak sedikit pun menguasai hatinya. Beliau a.s juga
mengetahui kebolehan menguruskan harta yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya.
Demi kebaikan orang ramai Nabi Yusuf a.s menawarkan dirinya kepada raja
untuk memegang jawatan pengurus harta kekayaan kerajaan Mesir. Raja bersetuju
dengan permintaan Nabi Yusuf a.s itu dan beliau a.s membuktikan kewibawaan
dan kebijaksanaan beliau a.s dalam bidang tersebut.
Nabi Sulaiman a.s juga menguruskan
kekayaan dan kekuasaan. Beliau a.s mempunyai sifat-sifat yang terpuji.
Allah s.w.t memanggil hamba-Nya, Sulaiman a.s, sebagai sebaik-baik hamba.
Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s menguruskan kekayaan dan kekuasaan
atas dasar kehambaan kepada Allah s.w.t.
Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman; ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). ( Ayat 30 : Surah Saad )
Nabi Sulaiman a.s bermohon kepada
Allah s.w.t agar dikurniakan kepada beliau a.s kerajaan yang besar. Kedua-dua
mereka, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s, meminta untuk menguruskan
bidang berkenaan. Ternyata bahawa orang yang boleh menguruskan dengan adil
bidang berkenaan adalah orang yang benar-benar mengenali dirinya, mempunyai
keyakinan yang teguh, hati yang bulat dan sifat kehambaan yang sebenar-benarnya
kepada Allah s.w.t.
Dia (Sulaiman) berkata: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah Kurnia-Nya”. ( Ayat 35 : Surah Saad ) Sesiapa yang ditakdirkan menguruskan bidang kekayaan dan kekuasaan perlulah menjalankan amanah Allah s.w.t itu atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.