JANGAN
MENINGGALKAN ZIKIR LANTARAN ENGKAU BELUM SELALU INGAT KEPADA ALLAH S.W.T
KETIKA BERZIKIR, SEBAB KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA TIDAK
BERZIKIR LEBIH BAHAYA DARIPADA KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA
KAMU BERZIKIR. SEMOGA ALLAH S.W.T MENAIKKAN DARJAT KAMU DARIPADA ZIKIR
DENGAN KELALAIAN KEPADA ZIKIR YANG DISERTAI INGAT KEPADA ALLAH S.W.T, DAN
MUDAH-MUDAHAN ALLAH S.W.T AKAN MENGANGKAT KAMU DARIPADA ZIKIR YANG BESERTA
KEHADIRAN ALLAH S.W.T DI DALAM HATI KAMU KEPADA ZIKIR DI MANA LENYAPNYA
SEGALA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T. HAL YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH SUKAR
BAGI ALLAH S.W.T.
Empat keadaan yang berkaitan dengan zikir:
1: Tidak berzikir langsung.
2: Berzikir dalam keadaan hati tidak ingat kepada Allah s.w.t.
3: Berzikir dengan disertai rasa kehadiran Allah s.w.t di dalam hati.
4: Berzikir dalam keadaan fana dari makhluk, lenyap segala sesuatu dari hati, hanya Allah s.w.t sahaja yang ada.
1: Tidak berzikir langsung.
2: Berzikir dalam keadaan hati tidak ingat kepada Allah s.w.t.
3: Berzikir dengan disertai rasa kehadiran Allah s.w.t di dalam hati.
4: Berzikir dalam keadaan fana dari makhluk, lenyap segala sesuatu dari hati, hanya Allah s.w.t sahaja yang ada.
Bukanlah sukar bagi Allah s.w.t untuk mengubah
suasana hati hamba-Nya yang berzikir dari suasana yang kurang baik kepada
yang lebih baik hingga mencapai yang terbaik.
Kerohanian manusia berada dalam beberapa
darjat, maka suasana zikir juga berbeza-beza, mengikut darjat rohaninya.
Darjat yang paling rendah adalah si raghib yang telah tenat dikuasai oleh
syaitan dan dunia. Cahaya api syaitan dan fatamorgana dunia menutup hatinya
sehingga dia tidak sedikit pun mengingati Allah s.w.t. Seruan, peringatan
dan ayat-ayat Allah s.w.t tidak melekat pada hatinya. Inilah golongan Islam
yang dijajah oleh sifat munafik. Golongan ini tidak berzikir langsung.
Golongan kedua berzikir dengan lidah
tetapi hati tidak ikut berzikir. Lidah menyebut nama Allah s.w.t, tetapi
ingatan tertuju kepada harta, pekerjaan, perempuan, hiburan dan lain-lain.
Inilah golongan orang Islam yang awam. Mereka dinasihatkan supaya jangan
meninggalkan zikir kerana dengan meninggalkan zikir mereka akan lebih dihanyutkan
oleh kelalaian.. Tanpa zikir, syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar
tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir
pada peringkat ini berperanan sebagai ‘juru ingat’. Sebutan lidah menjadi
teman yang mengingatkan hati yang lalai. Lidah dan hati berperanan seperti
dua orang yang mempunyai minat yang berbeza. Seorang enggan mendengar sebutan
nama Allah s.w.t, sementara yang seorang lagi memaksanya mendengar dia
menyebut nama Allah s.w.t. Sahabat yang berzikir (lidah) mestilah memaksa
bersungguh-sungguh agar temannya (hati) mendengar ucapannya. Di sini terjadilah
peperangan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang disokong oleh
tenaga dunia yang cuba menghalang tenaga zikir dari memasuki hati.
Golongan yang ke tiga pula adalah
mereka yang tenaga zikirnya sudah berjaya memecahkan dinding yang dibina
oleh syaitan dan dunia. Ucapan zikir sudah boleh masuk ke dalam hati. Tenaga
zikir bertindak menyucikan hati daripada karat-karat yang melekat padanya.
Pada mulanya ucapan zikir masuk ke dalam hati sebagai sebutan nama-nama
Allah s.w.t. Setelah karat hati sudah hilang maka sebutan nama-nama Allah
s.w.t akan disertai oleh rasa mesra yang mengandungi kelazatan. Pada peringkat
ini zikir tidak lagi dibuat secara paksa. Hati akan berzikir tanpa menggunakan
lidah. Sebutan nama-nama Allah s.w.t menghalakan hati kepada Empunya nama-nama,
merasai sifat-sifat-Nya sebagaimana dinamakan.
Golongan ke empat ialah mereka yang
telah sepenuhnya dikuasai oleh Haq atau hal ketuhanan. Mereka sudah keluar
dari sempadan alam maujud dan masuk ke dalam hal yang tidak ada alam, yang
ada hanya Allah s.w.t. Tubuh kasar mereka masih berada di atas muka bumi,
bersama-sama makhluk yang lain. Tetapi, kesedarannya terhadap dirinya dan
makhluk sekaliannya sudah tidak ada, maka kewujudan sekalian yang maujud
tidak sedikit pun mempengaruhi hatinya. Mereka karam dalam zikir dan yang
dizikirkan. Mereka yang berada pada tahap ini telah terlepas dari ikatan
manusiawi dan seterusnya mencapai penglihatan hakiki mata hati, sebagaimana
yang telah dinyatakan ketika membincang Hikmat 45.
Mereka yang mempunyai penglihatan
hakiki mata hati ada dua jenis. Jenis pertama adalah yang mempunyai nama
dan tabir penutup. Hijab nama (asma’) tidak terangkat lalu dia melihat
di dalam hijab. Dia melihat Allah s.w.t pada apa yang menghijabkannya.
Zikirnya ialah nama yang padanya dia melihat Allah s.w.t. Jenis kedua pula
ialah yang berpisah dengan nama dan hijab, lalu dia melihat Allah s.w.t
dan merasakan ketenangan dengan penglihatan itu. Pada ketika itu tidak
sepatah pun ucapan yang terucap olehnya dan tidak sepatah pun kalam yang
terdengar padanya. Dia melihat nama itu tidak mempunyai kekuatan hukum
apa pun selain-Nya. Bila nama dinafikan tibalah pada wusul (sampai). Bila
tidak terlintas lagi nama tibalah pada ittisal (perhubungan). Nama yang
tidak lagi terlintas disebabkan kuatnya tarikan dari yang dinamai. Makam
ini dinamakan makam al-Buhut (kehairan-hairanan), kerana dia melihat Allah
s.w.t dalam kehairan-hairanan, tiada ucapan kecuali pandangan. Inilah makam
terakhir di mana semua hati terhenti di situ. Ia adalah tingkatan tertinggi
tentang kecintaan terhadap zat Ilahiat.
Pada tahap ini Nur-Nya memancar,
menyinar, menjulang naik ke lubuk hati. Peringkat ini sudah tiada zikir
dan tiada pula yang berzikir, hanyalah memandang bukan berzikir dan tiada
berbalik kembali pandangannya. Inilah hal yang dikatakan faham dengan tiada
huraian pemahamannya dan mencapai dengan tiada sesuatu pencapaiannya. Insan
di dalam hal ini sudah tidak lagi memohon fatwa, tidak memohon perkenan,
tidak meminta pertolongan dan ucapan juga tiada. Baginya setiap sesuatu
adalah ilmu dan setiap ilmu adalah zikir. Inilah hamba yang telah benar-benar
berjaya menghimpun semua makam dan martabat. Dia sudah melihat takdir-takdir
dan melihat bagaimana Allah s.w.t menghalau takdir demi takdir dan melihat
bagaimana Allah s.w.t mengulangi takdir-takdir itu dengan berbagai-bagai
cara yang dikehendaki-Nya kerana sesungguhnya Allah s.w.t sahaja yang memulakan
penciptaan dan Dia juga yang mengulanginya. Penglihatannya tidak berbolak-balik
lagi. Dia melihat Allah s.w.t di hadapan dan di belakang apa yang dilihatnya
dan melihat Allah s.w.t dalam segala yang dilihatnya.
Apabila kerinduan terhadap Allah s.w.t
telah menguasai hati seseorang hingga kepada tahap tiada ucapan yang boleh
diucapkan maka keadaan itu dikatakan melihat Allah s.w.t yang tiada sesuatu
yang menyamai-Nya, sebagaimana firman-Nya:
Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran)-Nya, dan Dia jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. ( Ayat 11 : Surah asy-Syura )