BERBEZA
ANTARA ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T DENGAN ORANG YANG
MENGAMBIL DALIL ATAS-NYA. ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T
ITULAH YANG MENGENAL HAQ DAN MELETAKKANNYA PADA TEMPATNYA DAN MENETAPKAN
TERJADINYA SESUATU DARI ASAL MULANYA. MENGAMBIL DALIL ATAS ALLAH S.W.T
ADALAH KERANA TIDAK SAMPAI KEPADA-NYA. MAKA BILAKAH ALLAH S.W.T ITU GHAIB
SEHINGGA MEMERLUKAN DALIL UNTUK MENYATAKAN-NYA DAN BILAKAN ALLAH S.W.T
ITU JAUH SEHINGGA MEMERLUKAN ALAM UNTUK SAMPAI KEPADA-NYA.
Nur Ilahi yang menyinari hati memperlihatkan
Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum yang selain-Nya kelihatan. Akal pula
melihat anasir alam dan kejadian-kejadian yang berlaku terlebih dahulu
sebelum sampai kepada Tuhan yang mengatur segala urusan. Orang-orang hati
melihat Wujud Allah s.w.t mengwujudkan alam dan apa yang berlaku di dalamnya
dan orang-orang akal pula melihat wujud alam menjadi dalil kepada Wujud
Allah s.w.t.
Orang yang sampai kepada Allah s.w.t melihat bahawa Wujud Allah s.w.t adalah Wujud Hakiki dan Wujud Allah s.w.t menerangi wujud makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada peringkat mencari pula melihat Allah s.w.t itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk mengenal Allah s.w.t adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk menjadi bukti kepadanya tentang Wujud Allah s.w.t, kerana makhluk tidak terjadi dengan sendirinya.
Orang yang sampai kepada Allah s.w.t melihat bahawa Wujud Allah s.w.t adalah Wujud Hakiki dan Wujud Allah s.w.t menerangi wujud makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada peringkat mencari pula melihat Allah s.w.t itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk mengenal Allah s.w.t adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk menjadi bukti kepadanya tentang Wujud Allah s.w.t, kerana makhluk tidak terjadi dengan sendirinya.
Perbincangan Hikmat 8 menyentuh golongan
mencari dan golongan yang dicari. Orang yang mencari menempuh jalan yang
sukar-sukar sebelum bertemu dengan yang dicarinya. Contoh terbaik orang
yang mencari ialah Salman al-Farisi yang mendapat jolokan Pencari Kebenaran.
Beliau r.a berasal dari Isfahan. Bapanya seorang kenamaan yang kaya-raya
dan kuat berpegang kuat pada agama Majusi. Salman bertugas menjaga api
dan bertanggungjawab mempastikan api itu tidak padam. Satu hari beliau
lalu berhampiran gereja Nasrani. Beliau tertarik melihat cara orang Nasrani
bersembahyang. Setelah bertukar-tukar fikiran dengan mereka dan mempelajari
tentang agama Nasrani beliau berpendapat agama Nasrani lebih benar daripada
agama Majusi, lalu beliau memeluk agama Nasrani Beliau kemudiannya pergi
ke Syria untuk mendalami pengajiannya tentang agama Nasrani. Beliau tinggal
dengan seorang pendeta dan beliau menjadi pelayan kepada pendeta tersebut
sambil beliau belajar Setelah pendeta itu meninggal dunia Salman pergi
ke Mosul, untuk memenuhi kehendak wasiat pendeta tersebut. Di sana beliau
tinggal dan berkhidmat kepada seorang pendeta juga. Apabila hampir ajalnya
pendeta kedua ini mewasiatkan kepada Salman supaya pergi ke Nasibin dan
berkhidmat kepada seorang salih yang tinggal di sana. Salman kemudiannya
berpindah ke Nasibin. Pendeta di Nasibin kemudiannya mewasiatkan kepada
Salman agar beliau pergi ke Amuria dan berkhidmat kepada seorang salih
di sana. Salman berpindah pula ke Amuria. Ketika pendeta di Amuria itu
hampir menemui ajalnya beliau memberi amanat kepada Salman bahawa sudah
hampir masanya kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Nabi Ibrahim
a.s secara murni. Nabi yang baharu muncul itu nanti akan berhijrah ke satu
tempat yang banyak ditumbuhi pokok kurma dan terletak di antara dua bidang
tanah berbatu-batu hitam. Tanda-tanda yang jelas tentang kenabiannya ialah
dia tidak mahu makan sedekah tetapi menerima hadiah. Di bahunya ada cap
kenabian yang bila dilihatnya segera dikenali akan kenabiannya. Setelah
pendeta yang memberi amanat itu meninggal dunia berangkatlah Salman mengikuti
rombongan Arab dengan menyerahkan kepada mereka lembu-lembu dan kambing-kambingnya.
Sampai di Wadi Qura, Salman dianiayai dan dijual kepada orang Yahudi. Kemudian,
Salman dijual kepada orang Yahudi yang lain. Tuannya yang baharu itu membawanya
ke Yasrib. Sebaik sahaja Salman melihat negeri itu yakinlah dia bahawa
itulah negeri yang diceritakan oleh pendeta yang menjaganya dahulu. Apabila
Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yasrib, Salman datang menemui baginda s.a.w
di Quba dan memberikan makanan sebagai sedekah kepada baginda s.a.w dan
sahabat baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w menyuruh mereka makan tetapi baginda
s.a.w tidak menjamah makanan tersebut. Keesokan harinya Salman datang lagi
membawa makanan sebagai hadiah. Rasulullah s.a.w makan bersama-sama sahabat
baginda s.a.w. Semasa Rasulullah s.a.w berada di Baqi’, Salman pergi lagi
menemui baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w ketika itu memakai dua helai kain
lebar, satu sebagai sarung dan satu lagi sebagai baju. Salman menjenguk
dan mengintai untuk melihat belakang baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w mengerti
akan maksud Salman lalu baginda s.a.w menyingkap kain burdah dari leher
baginda s.a.w hingga kelihatanlah cap kenabian yang dicari oleh Salman.
Melihatnya Salman terus menangis dan menciumnya. Akhirnya beliau temui
kebenaran yang beliau telah cari di merata-rata tempat.
Kisah Salman memberi gambaran betapa
sukarnya jalan yang ditempuhi oleh orang yang mencari Allah s.w.t. Di samping
mengharungi kehidupan yang sukar mereka juga menuntut ilmu, berguru ke
sana ke mari, mencari dalil-dalil dan pembuktian bagi menambahkan pengetahuan
tentang Tuhan. Mereka melihat alam dan kejadian di dalam alam sebagai bukti
yang menunjukkan Wujud Allah s.w.t, dan mereka mengkaji alam untuk memahami
tentang keesaan Allah s.w.t. Setelah mereka sampai kepada Allah s.w.t mereka
melepaskan dalil-dalil lalu berpegang kepada makrifat yang diperolehi.
Golongan yang dicari menempuh jalan
yang berbeza. Contoh orang yang dicari ialah Saidina Umar al-Khattab r.a.
Pada awal perkembangan Islam di Makkah umat Islam menghadapi tentangan
yang hebat dari puak Quraisy. Rasulullah s.a.w telah berdoa agar
Islam diperkuatkan dengan salah satu Umar, iaitu Umar bin Hisyam (Abu Jahal)
atau Umar al-Khattab. Umar al-Khattab ketika itu sangat keras menentang
dan menyeksa golongan Islam, terutamanya yang lemah. Rasa bencinya terhadap
agama baharu yang merombak adat dan kepercayaan datuk neneknya itu meluap-luap
di hatinya. Apabila rasa kebencian itu memuncak beliau mengambil keputusan
mahu membunuh Rasulullah s.a.w. Umar mencabut pedangnya sambil menuju ke
tempat di mana Rasulullah s.a.w berada. Di tengah jalan Umar diberitahu
bahawa adiknya sendiri telah pun memeluk Islam. Dia memikirkan bahawa lebih
baik jika dia menguruskan masalah dalamannya dahulu sebelum membunuh Rasulullah
s.a.w. Mendengar berita itu dia pun membelok ke rumah adiknya. Keadaannya
seperti singa bengis. Ditendangnya pintu rumah adiknya. Pada ketika itu
adiknya sedang memegang lembaran yang ditulis dengan ayat al-Quran. Umar
memukul adiknya dan merampas lembaran tersebut. Umar adalah seorang cendekiawan
yang tahu membaca, dan arif tentang sastera puisi. Sebaik sahaja Umar membaca
wahyu Allah s.w.t, tubuhnya menggeletar dan keluarlah ucapan dari mulutnya,”
Ini bukan syair yang ditulis oleh penyair yang handal. Ini bukan karya
manusia. Tidak ada yang dapat menciptakannya kecuali Tuhan sendiri”. Lalu
Umar al-Khattab pergi menghadap Rasulullah s.a.w dan menyatakan keislamannya.
Umar al-Khattab membaca ayat al-Quran,
Kalam Allah s.w.t dan serta-merta dia melihat kebenarannya. Umar tidak
memerlukan kepada alam dan makhluk sekaliannya sebagai dalil dan bukti.
Kebenaran itu sendiri menjadi dalil baginya. Kalam Allah s.w.t sendiri
yang menyampaikan Umar kepada-Nya. Allah s.w.t yang menerangi hati Umar
dengan makrifat-Nya. Makrifatullah yang menerangi makrifat alam sehingga
alam itu dikenali melalui sumber iaitu Allah s.w.t sendiri. Orang yang
mencari menyusur dari ranting ke dahan, turun ke batang lalu pergi kepada
umbi sebelum menemui benih yang melahirkan pokoknya. Orang yang telah dibawa
kepada Tuhan melihat dari asal mulanya, melihat benih yang darinya muncul
pokok yang cukup lengkap.
Perbezaan arah memandang menyebabkan
terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa. Orang akal lebih cenderung
kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan sejagat iaitu
fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk formula-formula
yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal. Sukar bagi
akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan keberkesanan
hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang
sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum
yang mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah
mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.
Orang hati pula terus menyaksikan
ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab dan
akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. Mereka juga mengambil sebab dalam melakukan
sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah s.w.t,
meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu, bukan
bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat
menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi
segala sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang demikian sering
diganggu oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan
logik.
Walaupun terdapat perbezaan cara
memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara dua golongan
tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa golongan
yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar bahawa mereka
sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas, berserah
diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati yang
mengeluarkan niat.