APA
YANG TERSIMPAN DALAM KEGHAIBAN RAHSIA HATI BERBEKAS NYATA PADA ZAHIRNYA.
Allah s.w.t mengurniakan kepada hati hamba-hamba-Nya
yang bahagia dengan Nur Zikir, Nur Kalbu, Nur Akal, Nur Iman dan Nur Makrifat.
Kurniaan Allah s.w.t yang demikian itu merupakan rahsia-rahsia yang tidak
diketahui oleh makhluk. Setiap hamba yang dibawa ke Hadrat-Nya mempunyai
rahsia sendiri dan tidak diketahui oleh hamba-hamba yang lain, walaupun
mereka berada pada tingkatan yang sama. Seorang guru pun tidak tahu rahsia
muridnya dengan Tuhannya. Apa yang Allah s.w.t kurniakan kepada seorang
hamba pilihan-Nya tidak serupa dengan yang dikurniakan kepada hamba pilihan
yang lain. Kurniaan Allah s.w.t kepada seorang nabi berbeza daripada kurniaan
terhadap nabi-nabi yang lain. Kurniaan Allah s.w.t yang tersimpan dalam
keghaiban rahsia hati itu menjadi penggerak kepada pembentukan diri seseorang,
hingga dia dapat dikenal dan dibezakan daripada orang lain. Kurniaan Rahsia
Allah s.w.t kepada Isa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Roh
Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Musa a.s menyebabkan beliau a.s
dikenali sebagai Kalim Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Ibrahim
a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Khalil Allah. Kurniaan Rahsia
Allah kepada Muhammad s.a.w menyebabkan baginda s.a.w dikenali sebagai
Habiballah. Aulia Allah s.w.t juga menerima kurniaan Rahsia Allah s.w.t
dan masing-masing memiliki keperibadian yang tersendiri
Nur Ilahi yang menyinari hati seseorang
akan mengubah suasana hati itu dan sekaligus perwatakan dan perawakan orang
itu. Perubahan pada perwatakan dapat dilihat pada tingkah-laku dan perbuatan.
Sinaran Nur Zikir akan melahirkan seorang yang gemar berzikir, mengingati
Allah s.w.t semasa duduk, berdiri, ketika sendirian dan juga ketika berada
dalam perkumpulan. Lidahnya sentiasa basah dengan sebutan nama-nama Allah
s.w.t. Sinaran Nur Kalbu akan membuat seseorang berlapang dada, tidak cemas
menghadapi ujian dan gemar mendekati Allah s.w.t. Sinaran Nur Akal akan
melahirkan sikap suka bertafakur sehingga terbukalah kepadanya Rahsia-rahsia
ketuhanan yang menjadi penggerak kepada perjalanan alam maya ini. Muncullah
dari lidahnya Kalam Hikmat yang mempesonakan sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Sinaran Nur Iman mengwujudkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada
perkara ghaib yang dialaminya sekalipun fikiran tidak dapat menerimanya.
Kepercayaan dan keyakinannya tidak bergoncang lantaran mendapat bantahan
dan sindiran. Sinaran Nur Makrifat menerangi mata hati untuk mengenal Allah
s.w.t, melihat-Nya pada semua kejadian. Tidak kabur pandangan mata hatinya
lantaran kekeruhan-kekeruhan yang berlaku di dalam dunia ini. Tidak terbalik
pandangan mata hatinya lantaran mendapat kemuliaan dan kekeramatan.
Nur Ilahi bukan sahaja mengubah perwatakan
tetapi juga mengubah perawakan. Bukan rupa-bentuk muka yang berubah tetapi
cahaya pada wajahnya yang berubah, menyebabkan siapa sahaja yang melihatnya
akan berasa senang. Misalnya, cahaya Nur Ilahi yang gilang gemilang menyinari
wajah Yusuf a.s telah mempesonakan wanita-wanita Mesir sehingga mereka
tidak sedar menghiris jari sendiri dan tidak merasai sakitnya akibat terpukau
memandang keindahan wajah Yusuf a.s. Begitulah kuatnya kesan sinaran Nur
Ilahi yang tersembunyi secara ghaib di dalam hati rohani hamba-hamba Allah
s.w.t yang dipilih untuk memperolehinya.
Anugerah Allah s.w.t, iaitu nur-nur, kepada
hati hamba-hamba-Nya yang beriman menjadi daya dan upaya bagi hati untuk
berpegang kuat kepada tauhid, mencintai segala yang bersesuaian dengan
Islam dan membencii segala bentuk kekufuran. Daya dan upaya nur yang pada
hati ternyata melalui perbuatan dan juga wajah orang berkenaan.
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )
Tanda nyata pada sifat pengikut-pengikut
Nabi Muhammad s.a.w adalah mereka tidak bertolak-ansur pada perkara yang
merosakkan akidah. Iman tidak boleh ditukar-ganti dengan harta, pangkat
atau kemuliaan. Iman adalah cahaya dan kekufuran pula adalah kegelapan.
Cahaya dan gelap tidak boleh bersepakat.
Mereka yang sangat keras menentang
kekufuran itu sangat berlemah-lembut apabila bersama-sama dengan orang
yang beriman. Hubungan hati-hati yang beriman adalah kasih sayang dan kerinduan.
Orang yang beriman inginkan kebaikan kepada saudaranya yang beriman. Mereka
tidak merosakkan atau menjatuhkan sesama mereka. Kebaikan yang Allah s.w.t
kurniakan digunakan untuk meringankan beban saudara-saudaranya yang beriman.
Mereka mengutamakan orang yang beriman daripada orang yang tidak nyata
imannya atau yang nyata kekufuran dan kemunafikannya. Keselamatan iman
adalah apabila ia dipertahankan daripada dicerobohi oleh kekufuran dan
kemunafikan. Akal mengenali kekufuran melalui tanda-tanda yang diceritakan
oleh ayat-ayat al-Quran. Hati mengenali kekufuran melalui Nur Ilahi yang
membuka kekufuran dan kemunafikan itu kepadanya.
Nur kurniaan Allah s.w.t yang menjadi
daya dan upaya hati seterusnya mempunyai kekuatan untuk mengawal pancaindera
orang yang beriman itu. Setiap anggota digunakan untuk berbakti kepada
Allah s.w.t, enggan ia berbuat maksiat. Orang yang beriman tekun berbuat
ibadat, mencari kurniaan dan keredaan-Nya.
Nur yang dalam Rahsia hati
itu juga memancarkan sinarnya sehingga kelihatan pada wajah orang yang
berkenaan. Jika perasaan yang bersembunyi dalam hati, seperti marah dan
riak, boleh ketara pada wajah, sinaran cahaya nur lebih kuat lagi berbekas
pada wajah.
Barangsiapa yang jernih dalam batinnya, akan diperbaiki Allah apa yang nyata pada wajahnya. ( Ucapan Umar al-Khattab )
Kesucian hati seseorang memancarkan cahaya
yang dapat ditangkap oleh cermin hati orang lain yang bersih. Apabila cahaya
iman berjumpa dengan cermin hati orang yang beriman akan lahirlah rasa
persaudaraan muslim yang sejati. Persaudaraan yang begini tidak ada kepentingan
diri dan tidak ada perlumbaan untuk menduduki tempat yang lebih tinggi.
Mereka saling bantu membantu dalam melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t menentukan bahawa yang
tersembunyi dalam hati mengeluarkan tanda pada zahir. Dalam banyak perkara
Allah s.w.t menjelaskan tanda-tanda tersebut melalui wahyu-Nya. Tuhan Yang
Maha Pemurah berbuat demikian agar orang yang beriman tidak tertipu oleh
kemanisan bahasa kemunafikan dan kekufuran. Mempertahankan iman daripada
kemunafikan dan kekufuran adalah satu jihad yang besar. Manusia tidak berdaya
berbuat demikian tanpa pertolongan Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t memberi
pertolongan dengan menunjukkan tanda-tanda sesuatu, ambillah manfaat daripadanya.