BAIKNYA
AMAL ADALAH HASIL DARI BAIKNYA AHWAL (HAL-HAL) DAN BAIKNYA AHWAL ADALAH
KERANA PENETAPAN MAKAM YANG DIKURNIAKAN ALLAH S.W.T.
Hikmat yang lalu mengaitkan nilai amal
dengan zuhud hati terhadap dunia. Hati yang zuhud tidak terlindung dari
Nur Ilahi. Hati yang menerima cahaya Nur Ilahi akan mendapat pengalaman
kerohanian yang dinamakan ahwal (hal-hal). Ahwal yang menetap pada hati
dinamakan makam.
Orang raghib yang hatinya tertutup dari
menerima sinaran Nur Ilahi tidak dapat mengalami ahwal. Hati yang seperti
ini tidak dapat bertahan bila menerima ujian. Jiwanya akan menjadi gelisah
apabila bermasalah. Syaitan akan menguasai hatinya sepenuhnya. Syaitan
akan mengwujudkan gambar-gambar yang menunjukkan cara-cara menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Cara yang paling disarankan oleh syaitan ialah membunuh
diri. Syaitan akan memberi gambaran bahawa membunuh diri adalah penyelesaian
yang paling baik dan paling suci. Ada penganut beberapa kepercayaan menganggap
membunuh diri satu jenis jihad yang menyampaikan seseorang ke syurga. Pahlawan
Jepun dahulu kala membunuh diri jika gagal melaksanakan perintah raja mereka.
Wanita Hindu zaman dahulu terjun ke dalam api yang sedang membakar mayat
suaminya. Ada pula orang membunuh diri dengan cara berlapar kerana kononnya
berjuang menentang kezaliman. Ada orang yang membunuh diri kerana ditinggalkan
kekasih dan mereka berasa megah kerana nama mereka akan diukir dalam sejarah
sebagai kekasih yang setia. Semua perbuatan tersebut dianggap suci oleh
pelaku-pelakunya kerana mereka sudah memiliki nilai kebenaran yang
tersendiri, iaitu kebenaran yang lahir dari kilauan cahaya api syaitan,
bukan kebenaran yang sejati.
Ahli zuhud mengalami hal yang berbeza.
Mereka juga menerima bala bencana seperti orang lain, tetapi sebelum hamba-Nya
yang dikasihi-Nya itu jatuh ke dalam jurang kebinasaan, Allah s.w.t menyinarkan
hati si hamba itu dengan Nur-Nya. Hati zahid yang diterangi oleh Nur Ilahi
akan mengalami satu suasana yang dipanggil sabar. Aliran kesabaran berjalan
di dalam hatinya dan diteguhkan kedudukan kesabaran di dalam hatinya itu
sehingga menjadi keperibadiannya. Dia dikatakan mempunyai sifat sabar.
Walaupun tempuh bala bencana sudah tamat, tetapi sifat sabarnya tidak hilang
dan berguna dalam menghadapi bencana yang lain pula. Kesabaran yang sudah
menjadi sifat hati itu bertindak sebagai tenaga yang menarik sifat-sifat
kebaikan yang lain supaya datang kepadanya. Kesabaran yang datang bersama-sama
bala bencana yang dihadapinya pertama dahulu dinamakan hal dan kesabaran
yang menetap sebagai sifatnya dinamakan makam. Apabila Allah s.w.t mengurniakan
hal kepada hamba-Nya, kemudian hal itu menetap menjadi makam, akan terhasillah
amal kebaikan yang berterusan, bukan setakat didatangi hal itu sahaja.
Hal yang telah menetap dan menjadi makam itu memperteguhkan hati sehingga
ia mampu menerima hal-hal yang lain pula. Hal-hal (ahwal) yang datang kemudian
itu menetap pula menjadi makam atau sifatnya yang berkekalan. Begitulah
hatinya
dipenuhi oleh sifat-sifat kebaikan sehingga tidak ada lagi sifat buruk
pada hatinya.
Kehidupan dunia ini merupakan medan
buat manusia membentuk amalannya, iaitu amalan zahir dan amalan batin.
Amalan zahir banyak menyentuh aspek kehidupan di dalam dunia. Amalan batin
pula banyak menyentuh soal kehidupan sesudah meninggalkan dunia. Amalan
batin lebih diutamakan kerana ia mengandungi niat, iman, ikhlas, sabar,
reda, tawakal, hanif dan lain-lain yang menentukan nilai sesuatu amal itu.
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia adalah Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); - ( Ayat 2 : Surah al-Mulk )
Allah s.w.t mendahulukan peringatan tentang
maut daripada peringatan tentang hidup. Maut hanya wujud pada kehidupan
dunia ini. Pada kehidupan akhirat maut tidak ada. Hidup yang dibayangi
oleh maut ini merupakan ujian. Hidup adalah kesempatan dan peluang untuk
membuat persiapan bagi melangkahi jambatan maut, pergi ke tempat yang tidak
ada amal dan tidak ada mati. Lihatlah kepada buku catatan amalan masing-masing.
Lihatlah kepada usia yang sudah berlalu. Mampukah amalan yang ada menyelamatkan
diri sesudah menyeberangi jambatan maut nanti?
Allah s.w.t bukakan dua jalan kepada
mereka yang masih ada hayat di dunia. Jalan pertama membawa mereka menemui
Allah al-Aziz, Maha Perkasa, Maha Keras (Maha Strict), tidak ada kasihan
belas kepada pesalah dan hukuman-Nya sangat berat. Jalan kedua membawa
mereka menemui Allah al-Ghafur, Maha Pengampun, Maha Bertolak-ansur, Maha
Tidak Berkira, dimaafkan-Nya segala dosa walau berapa banyak sekalipun.
Buatlah pilihan ketika masih ada hayat dikandung badan.
Bagi mereka yang mahu menemui Allah
al-Ghafur, Dia memberitahukan caranya.
Seketika dia datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci murni. ( Ayat 84 : Surah as-Saaffaat )
Mereka yang layak berada di bawah naungan
rahmat keampunan Allah s.w.t adalah mereka yang dengan kesucian hatinya
menyerahkan diri dan jiwa raganya kepada Tuhan. Mereka menolak segala bentuk
pertuhanan yang selain Allah s.w.t. Mereka bersedia menjalankan apa jua
perintah Allah s.w.t tanpa takwil. Mereka adalah para hamba yang ikhlas
atau bertajrid iaitu melepaskan diri dari segala yang mengikat. Tidak ada
pergantungan, sandaran, tempat meminta, tempat berharap dan tempat mengadu
kecuali Allah s.w.t. Mereka adalah para hamba yang masuk ke dalam urusan
Allah s.w.t, dijaga dan dipelihara oleh Tuhan. Orang yang dipelihara kesucian
hatinya sehingga ke akhir hayatnya itu akan kembali kepada Tuhannya dengan
sejahtera.
“Hari yang padanya hartabenda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali (hartabenda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); ( Ayat 88 & 89 : Surah asy-Syu’araa’ )