TIDAK
SIA-SIA SESUATU MAKSUD APABILA DISANDARKAN KEPADA ALLAH S.W.T DAN TIDAK
MUDAH TERCAPAI TUJUAN JIKA DISANDARKAN KEPADA DIRI SENDIRI.
Hikmat yang lalu menggambarkan keadaan
hamba Allah s.w.t yang mempunyai maksud yang baik iaitu mahu mengubah dunia
supaya menjadi tempat kehidupan yang sentosa, tetapi ternyata gagal melaksanakan
maksudnya apabila dia bersandar kepada kekuatan dirinya sendiri. Allah
s.w.t menyifatkan dunia sebagai tempat huru-hara dan kekeruhan. Sesiapa
yang memasukinya pasti berjumpa dengan keadaan tersebut. Kekuatan huru-hara
dan kekeruhan yang ada pada dunia sangatlah kuat kerana Allah s.w.t yang
meletakkan hukum kekuatan itu padanya. Percubaan untuk mengubah apa yang
Allah s.w.t tentukan akan menjadi sia-sia. Allah s.w.t yang menetapkan
sesuatu perkara, hanya Dia sahaja yang dapat mengubahnya. Segala kekuatan,
baik dan buruk, semuanya datang daripada-Nya. Oleh yang demikian jika mahu
menghadapi sesuatu kekuatan yang datang dari-Nya mestilah juga dengan kekuatan-Nya.
Kekuatan yang paling kuat bagi menghadapi kekuatan yang dipunyai oleh dunia
ialah kekuatan berserah diri kepada Allah s.w.t. Kembalikan semua urusan
kepada-Nya. Rasulullah s.a.w telah memberi pengajaran dalam menghadapi
bencana dengan ucapan dan penghayatan:
Kami datang dari Allah. Dan kepada Allah kami kembali.
Semua perkara datangnya dari Allah s.w.t
dan akan kembali kepada Allah s.w.t juga. Misalnya, api yang dinyalakan,
dari mana datangnya jika tidak dari Allah s.w.t dan ke mana perginya bila
dipadamkan jika tidak kepada Allah s.w.t.
Apabila sesuatu maksud disandarkan
kepada Allah s.w.t maka menjadi hak Allah s.w.t untuk melaksanakannya.
Nabi Adam a.s mempunyai maksud yang baik iaitu mahu menyebarkan agama Allah
s.w.t di atas muka bumi ini dan menyandarkan maksud yang baik itu kepada
Allah s.w.t dan Allah s.w.t menerima maksud tersebut. Setelah Nabi Adam
a.s wafat, maksud dan tujuan beliau a.s diteruskan. Allah s.w.t memerintahkan
maksud tersebut dipikul oleh nabi-nabi yang lain sehingga kepada nabi terakhir
iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Setelah Nabi Muhammad s.a.w wafat ia dipikul
pula oleh para ulama yang menjadi pewaris nabi-nabi. Ia tidak akan berhenti
selama ada orang yang menyeru kepada jalan Allah s.w.t. Jika dipandang
dari segi perjalanan pahala maka boleh dikatakan pahala yang diterima oleh
Nabi Adam a.s kerana maksud baiknya berjalan terus selama agama Allah s.w.t
berkembang dan selagi ada orang yang mewarisi dan meneruskan perjuangannya
ini.
Maksud menyerah diri kepada Allah
s.w.t, bersandar kepada-Nya dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya mesti
difahami dengan mendalam. Kita hendaklah memasang niat yang baik, dan beramal
bersesuaian dengan makam kita. Allah s.w.t yang menggerakkan niat itu dan
melaksanakan amal yang berkenaan. Cara pelaksanaannya adalah hak mutlak
Allah s.w.t. Kemungkinan kita tidak sempat melihat asas yang kita bina
siap menjadi bangunan namun, kita yakin bangunan itu akan siap kerana Allah
s.w.t mengambil hak pelaksanaannya. Maksud dan tujuan kita tetap akan menjadi
kenyataan walaupun kita sudah memasuki liang lahad. Pada masa kita masih
hidup kita hanya sempat meletakkan batu asas, namun pada ketika itu mata
hati kita sudah dapat melihat bangunan yang akan siap. Rasulullah s.a.w
sudah dapat melihat perkara yang akan berlaku sesudah baginda s.a.w wafat,
diantaranya ialah kejatuhan kerajaan Rum dan Parsi ke tangan orang Islam
semasa pemerintahan khalifah ar-rasyidin. Sekalian nabi-nabi mursalin yang
dibangkitan sebelum Nabi Muhammad s.a.w sudah dapat melihat kedatangan
baginda s.a.w sebagai penutup dan pelengkap kenabian. Begitulah tajamnya
pandangan mata hati mereka yang bersandar kepada Allah s.w.t dan menyerahkan
kepada-Nya tugas mengurus.
Tidak ada jalan bagi seseorang hamba
kecuali berserah diri kepada Tuannya. Semua Hikmat dari yang pertama hinggalah
kepada yang ke 33 ini, sekiranya disambungkan akan membentuk satu landasan
yang menuju satu arah iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t. Hikmat-hikmat
yang telah dipaparkan membicarakan soal pokok yang sama, disuluh dari berbagai-bagai
sudut dan aspek supaya lebih jelas dan nyata bahawa hubungan sebenar seorang
hamba dengan Tuhan ialah berserah diri, reda dengan lakuan-Nya. Rasulullah
s.a.w telah mewasiatkan kepada Ibnu Abbas r.a:
Apabila kamu bermohon, maka bermohonlah kepada Allah s.w.t. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah s.w.t. Dan, ketahuilah bahawa sekiranya sekalian makhluk saling bantu membantu kamu untuk memperolehi sesuatu yang tidak ditulis Allah s.w.t untuk kamu, pasti mereka tidak akan sanggup mengadakannya. Dan, sekiranya sekalian makhluk mahu memudaratkan kamu dengan sesuatu yang tidak ditulis Allah s.w.t buat kamu, nescaya mereka tidak sanggup berbuat demikian. Segala buku telah terlipat dan segala pena telah kering.